suria

Tiga Penjenayah Kes Samun Di Pendang Ditahan

ALOR SETAR: Tiga penjenayah yang terlibat dengan kes samun di sebuah kedai emas di Pekan Tanah Merah, Pendang pada 4 Julai lepas telah ditangkap polis dalam beberapa siri tangkapan yang dijalankan di sekitar Kuala Lumpur dan Seremban baru-baru ini.

Ketua Polis Kedah, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, dalam tangkapan itu, dua orang wanita turut ditahan kerana dipercayai terlibat dengan kumpulan itu yang turut menyamun di Gemas, Negeri Sembilan, Batu Kurau dan Sitiawan di Perak serta di Pendang, Kedah.

"Susulan daripada tangkapan kelima-lima mereka yang berumur antara 28 dan 37 tahun, polis juga berjaya menemui dan merampas sepucuk pistol jenis Pietro Beretta Gardone VT buatan Itali, satu kelopak peluru, empat butir peluru hidup, satu kelongsong peluru dan satu sarung muka serta beberapa unit telefon bimbit," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Dalam kejadian samun pada pukul 12.30 tengah hari itu, seorang penjenayah berusia 28 tahun telah ditembak mati oleh pengawal keselamatan manakala seorang lagi dipercayai cedera akibat tembakan kedua pengawal keselamatan itu.

"Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana kesalahan melepaskan tembakan semasa melakukan kesalahan yang berjadual dan jika sabit kesalahan boleh membawa hukuman mati," katanya.

Sementara itu, Syed Ismail berkata, polis berjaya menahan lima lelaki berumur antara 21 dan 36 tahun yang telah melakukan kes samun ke atas sebuah van rokok di Tanah Merah, Jitra pada pukul 1.55 tengah hari 12 Julai lepas.

"Ekoran maklumat yang diterima, polis telah melancarkan operasi pengesanan dan berjaya menahan kelima-lima suspek di sebuah chalet di Bayan Lepas, Pulau Pinang dan mereka dipercayai berasal daripada Pantai Timur," katanya.

Katanya, hasil daripada tangkapan itu polis turut merampas sebuah mesin resit jualan rokok, tujuh keping cukai jalan, empat keping nombor pendaftaran kereta, serangkai anak kunci serta beberapa buah telefon bimbit.

"Polis turut merampas dua buah kereta jenis Proton Perdana dan hasil semakan mendapati kedua-dua kereta itu adalah kereta yang dilaporkan dicuri di Seksyen 6 Shah Alam dan Damansara," katanya.

Beliau berkata, polis masih lagi memburu beberapa suspek yang masih bebas bagi melumpuhkan kegiatan kumpulan itu dan semua suspek sudah dikenal pasti.

"Semua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan," katanya.

Syed Ismail berkata, polis turut menahan lima orang penjenayah yang berumur antara 15 dan 17 tahun dengan tiga daripadanya masih lagi bersekolah kerana terlibat dalam kejadian samun ke atas pekerja warga asing di Jitra pada 6.30 pagi 11 Julai lepas.

"Pihak polis masih mengesan beberapa suspek yang masih bebas dan mereka telah dikenal pasti," katanya.

Syed Ismail berkata, siasatan mendapati kumpulan itu terlibat dalam 33 kes samun tanpa senjata di sekitar Alor Setar, Jitra serta Yan, dan sasaran mereka ialah pekerja asing yang bekerja di kawasan pembinaan yang sunyi.

"Berdasarkan modus operandi ketika melakukan samun, semua suspek adalah dalam kumpulan dua hingga lapan orang dan barang-barang yang disamun adalah telefon bimbit dan juga wang tunai," katanya.

Beliau berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 392 dan 397 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain