suria

Mahathir Dihukum Penjara 10 bulan

KUALA LUMPUR: Mahathir Mohamad Baharuddin, seorang mekanik diarahkan untuk menjalani hukuman penjara selama 10 bulan kerana melakukan pecah amanah membabitkan harta sebuah kereta jenis Honda Civic EG8.

Majistret Abdullah Siddiq Mohd Nasir menjatuhkan hukuman itu pada Jumaat, turut memerintahkan tertuduh disebat sekali dan didenda RM2,500.

Beliau yang membuat keputusan itu selepas menyabitkan tertuduh bersalah, memerintahkan supaya hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 25 November 2009.

"Hukuman yang diterima akan memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat agar tidak melakukan kesalahan," kata Abdullah Siddiq dalam penghakimannya.

Sebaik sahaja mendengar hukuman itu, Mahathir, 33, dilihat mengalirkan air matanya.

Tertuduh yang merupakan bapa kepada empat orang anak didakwa melakukan pecah amanah dengan cara menukar milik kereta itu kepada namanya.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu dalam kapasitinya sebagai seorang pekerja kepada Rosmah Abdul Majid, 46, pada pukul 1 petang, 15 April 2009.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di hentian Duta, bersebelahan Stesen Minyak Shell, Sentul, di sini.

Dalam usaha meringankan hukuman, tertuduh memaklumkan dia menghidap penyakit asma dan merupakan penanggung utama keluarga kerana isterinya tidak bekerja.

Timbalan Pendakwa Raya Rozana Husin pula memohon mahkamah menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain