suria

Pengurangan Subsidi Positif Untuk Kesihatan Dan Penjimatan

KUALA LUMPUR: Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) meminta orang ramai memandang isu pemotongan subsidi untuk gula dan petrol dari sudut positif khususnya sempena bulan Ramadan dan Syawal nanti.

"Pemotongan subsidi ini juga mampu kurangkan penyakit kronik seperti diabetis dan tekanan darah tinggi selain dapat menggalakkan sikap berjimat cermat dalam kalangan rakyat," kata setiausaha kerja PPIM Datuk Nadzim Johan.

Beliau berkata sudah tiba masanya pengguna belajar menguruskan perbelanjaan mereka dan tidak terlalu bergantung kepada subsidi kerajaan semata-mata.

Semalam kerajaan mengumumkan pemotongan subsidi bagi gula dan bahan api sebagai langkah pertama program rasionalisasi subsidi secara berperingkat untuk mengurangkan perbelanjaannya dan diperuntukkan untuk sektor penting seperti pendidikan dan kesihatan.

Nadzim berkata sejak tahun lepas, PPIM telah menjalankan kempen pengurangan penggunaan gula menjelang sambutan Aidil Fitri dan ini akan diteruskan tahun ini.

"Pengguna sendiri kena pandai sesuaikan diri dengan kenaikan harga tersebut. Apa yang mereka boleh buat misalnya ialah kurangkan penggunaan gula dari 15 peratus ke 10 peratus sehari.

"Di samping itu rakyat juga harus melihat isu ini sebagai sesuatu yang baik kerana hasil dari pemotongan tersebut, kerajaan dapat membantu sektor lain yang lebih memerlukan," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain