suria

Kerajaan Tegaskan Sekali Lagi Tidak Keluar Lesen Pertaruhan Sukan

KUALA LUMPUR: Kerajaan sekali lagi menegaskan keputusan muktamad untuk tidak mengeluarkan lesen pertaruhan sukan "Sports Betting" kepada Ascot Sports Sdn Bhd sepertimana yang telah diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 25 Jun lalu.

Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan, Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah dalam kenyataannya berkata, keputusan itu juga telah ditegaskan oleh Menteri Kewangan II Datuk Seri Husni Hanazlah dalam sesi ucapan penggulungan Kementerian Kewangan bagi perbahasan Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) di Dewan Rakyat pada 29 Jun lepas.

"Jawapan Parlimen yang diedarkan pada 6 Julai, 2010, oleh Kementerian Kewangan atas pertanyaan Ahli parlimen Pokok Sena Mahfuz Omar mengenai isu pemberian lesen kepada Ascot Sports Sdn Bhd adalah jawapan awal yang disediakan sebelum kerajaan mengambil keputusan muktamad itu," kata Wan Abdul Aziz, Khamis.

Pada 25 jun lalu, Perdana Menteri berkata keputusan itu dibuat setelah mengambil kira pandangan pelbagai pihak yang jelas menunjukkan bahawa sebahagian besarnya tidak bersetuju lesen itu dikeluarkan. - BERNAMA

Artikel Lain