suria

18,844 Mohon 1,500 Biasiswa Ijazah Luar Negara

PETALING JAYA: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) menerima sebanyak 18,844 permohonan bagi mendapatkan biasiswa untuk mengikuti Program Ijazah Luar Negara (PILN) pada tahun lalu.

Jumlah tersebut adalah mengisi 1,500 biasiswa yang ditawarkan kepada mereka oleh JPA.

Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pelajaran, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kriteria bagi pemilihan calon berdasarkan pencapaian akademik di dalam aktiviti tambahan kokurikulum, latar belakang keluarga dan penilaian sewaktu ditemuduga.

“Sebanyak 847 tempat telah disediakan untuk pelajar yang memohon kursus-kursus kritikal seperti perubatan, pergigian dan farmasi di beberapa negara termasuk Australia, New Zealand, India, Czech Republic dan Poland.

“Ini termasuk program berkembar di Kolej Perubatan Pulau Pinang, Kolej Perubatan Manipal Melaka dan Universiti Perubatan Antarabangsa,” katanya.

Bagi kejuruteraan, jelasnya, terdapat 410 tempat telah disediakan di Perancis, Jerman, Amerika Syarikat dan beberapa negara lain.

Muhiyiddin berkata, selepas keputusan diumumkan, seramai 59 pelajar telah menolak tawaran mereka manakala 4,298 rayuan telah diterima pada Mei lalu.

Pada 9 Jun lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan terdapat 250 biasiswa lagi akan ditawarkan pada tahun ini menjadikan jumlah keseluruhan 1,750 biasiswa.

Kerajaan turut menawarkan penajaan biasiswa kepada 100 pelajar paling cemerlang yang memilih untuk melanjutkan pengajian di beberapa universiti penyelidikan tempatan seperti Universiti Sains Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya.

Menurut Muhyiddin, sebanyak 1,900 tempat lagi akan ditawarkan kepada pelajar cemerlang yang tidak dipilih di bawah PILN di institusi pengajian tinggi dan kampus cawangan termasuk Kampus Universiti Nottingham Malaysia dan Kampus Universiti Teknologi Curtin Sarawak.

Beliau berkata, kerajaan memerlukan peruntukan sejumlah RM1.96 bilion bagi menaja pengajian 3,750 pelajar.

Muhyiddin menekankan bahawa JPA akan terus menaja para pelajar di bawah program biasiswa luar negara bagi mereka yang cemerlang di dalam kursus-kursus kritikal.

Pengajian berkenaan termasuk perubatan, pergigian, farmasi, perubatan veterinar, kejuruteraan, teknologi dan sains serta sains sosial.

Ini katanya, akan memperjelaskan kekeliruan di kalangan pelajar dan ibu bapa mengenai penajaan biasiswa JPA kepada pelajar yang cemerlang di dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun lalu.

Bulan lalu, Najib berkata, biasisawa akan dikeluarkan secara berperingkat dan kerajaan berharap untuk lebih banyak biasiswa akan ditawarkan bagi pengajian pasca-siswazah luar negara.

Artikel Lain