suria

Lima Maut Renjatan Elektrik Di Kelantan Sepanjang Lima Tahun

KOTA BARU: Lima kematian dicatatkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) Kelantan sepanjang tempoh 2005 sehingga 2010, kata Pengurus Besar TNB Kelantan Datuk Zulkifli Abdul Rahman.

Beliau berkata, pada 2005 insiden membabitkan seorang anggota di bahagian keselamatan elektrik cawangan Pasir Mas, 2006 membabitkan seorang orang awam yang dipercayai penceroboh ketika mahu mencuri peralatan tembaga daripada sistem pencawang TNB di Bachok.

"Manakala pada tahun 2007, tiga kematian dicatatkan membabitkan orang awam iaitu dua di Gua Musang kerana merempuh pagar elektrik yang dipasang oleh pemilik ladang berhampiran rumah penduduk dan satu lagi kematian juga di Bachok melibatkan seorang warga emas yang menggunakan galah besi untuk mengait buah 'beko' yang berada berdekatan pencawang TNB," katanya.

Ada beberapa kes berhubung elektrik yang menyebabkan kecederaan antaranya membabitkan anggota TNB, katanya selepas merasmikan Kempen Keselamatan Elektrik TNB Peringkat Negeri Kelantan, di sini, Selasa.

"Lima kes kematian itu adalah yang dicatatkan oleh Suruhanjaya Tenaga dan berada di dalam rekod TNB, bagaimanapun kita percaya masih banyak kematian yang mungkin tidak dilaporkan," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak menghampiri talian TNB bila-bila masa dan di mana sahaja, malahan mereka juga diingatkan tidak membuat penyambungan elektrik secara haram.

Selain itu katanya bagi mana-mana rumah atau kedai yang ingin membuat penyambungan elektrik perlulah melalui kontraktor Suruhanjaya Tenaga bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini.

"Bagi para pekerja pula kita minta mereka menggunakan peralatan khas yang disediakan ketika menjalankan tugas antaranya diwajibkan memakai peralatan seperti sarung tangan atau kasut khas bagi langkah keselamatan dan membolehkan mereka memegang sesuatu peralatan walaupun terdapat arus elektrik," katanya.

Bagaimanapun katanya sehingga kini kempen yang diadakan TNB menunjukkan perkembangan positif apabila sepanjang tempoh 2009 sehingga 2010 tiada sebarang kematian ekoran renjatan elektrik dicatatkan. - BERNAMA

Artikel Lain