suria

Tukang Paip Mati Ketika Derma Darah Kali ke-45

GEORGE TOWN: Keikhlasan seorang tukang paip menderma darah bertukar menjadi tragedi apabila dia secara tiba-tiba mengalami serangan jantung dan meninggal dunia ketika sedang menderma darah kali ke-45.

Ho Chuan Poh, 55, diserang sakit jantung ketika sedang menderma darah pada kempen anjuran Persatuan Hui Yin Seh Metta di Air Itam semalam.

Bagaimanapun, Chuan Poh tidak meninggal sia-sia. Kebaikannya itu dihargai apabila pemipin persatuan itu berjanji akan menanggung kos pengebumian dan akan memberikan wang insurans kepada keluarganya.

Doktor yang bertugas pada kempen berkenaan bergegas merawat Chuan Poh ketika dia mengalami serangan jantung secara tiba-tiba pada pukul 11.30 pagi.

Dia dihantar ke Hospital Pulau Pinang dan disahkan meninggal dunia pada pukul 12.33 tengah hari.

Ahli Patalogi Tabung Darah Hospital Pulau Pinang, Dr Soo Peng Yen mengklasifikasikan kematian tukang paip berkenaan sebagai kematian mengejut.

“Kakitangan perubatan kami sentiasa menjalankan ujian terhadap tahap hemoglobin penderma, tekanan darah, denyutan nadi dan juga sesi soal jawab pendek dengan penderma bagi memastikan mereka benar-benar sesuai untuk menderma darah atau tidak.

“Jika mereka gagal dalam mana-mana ujian tersebut, pihak kami tidak akan membenarkan mereka derma darah. Dalam kes ini, Chuan Poh lulus semua ujian tersebut,” kata Dr Peng Yen pada satu sidang media.

Anak bongsu tukang paip itu, Gin Hong, 18, berkata ayahnya mempunyai tahap kesihatan yang baik walaupun sekali-sekala dia minum arak dan merokok.

“Ayah selalu tidur awal jika dia hendak menderma darah pada keesokan hari,” katanya.

Chuan Poh, pernah memenangi pingat emas, perak dan gangsa berturut-turut pada 2002, 2004 dan 2008 daripada Persatuan Hui Yun Seh Metta atas rekodnya yang cemerlang sebagai penderma darah paling banyak.

Presiden Hui Yun Seh Metta, Datuk Chung Keng Kung berkata mereka sangat sedih dengan insiden yang menimpa Chuan Poh kerana dia merupakan penderma veteran paling lama untuk kempen persatuan berkenaan sejak 1997.

“Kami telah menjalankan sebanyak 173 kempen sejak tahun 1996 dan kami telah berjaya mengumpulkan 35,000 paket darah. Sepanjang tempoh itu, kami tidak pernah berhadapan dengan insiden malang seperti ini,” ujarnya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain