suria

Kapal Selam Kedua Negara Tiba Di Lumut

LUMUT: Kapal selam kedua negara, KD Tun Razak selamat tiba di Pangkalan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di sini pada pukul 4.40 petang.

Sambutan rasmi ketibaan KD Tun Razak itu diserikan dengan keberangkatan Sultan Perak Sultan Azlan Shah dan Raja Dihilir Perak Raja Jaafar Raja Muda Musa manakala Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah turut menaiki kapal selam itu dari Langkawi, Kedah.

Turut menyambut ketibaan kapal itu ialah Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

KD Tun Razak akan meneruskan pelayaran ke Pangkalan Kapal Selam di Teluk Sepanggar, Kota Kinabalu, Sabah selepas seminggu di sini. Ia memulakan pelayaran pulang dari Toulon, Perancis sejak 30 April lepas dengan dikendalikan sepenuhnya 21 pegawai dan 11 anggota TLDM lain-lain pangkat.

Pelayaran dari Toulon itu mengambil masa 64 hari dan singgah di empat pelabuhan bagi tujuan ulang bekal iaitu di Pelabuhan Iskandariah (Mesir), Jeddah (Arab Saudi), Salalah (Oman) dan Cochin (India) sebelum tiba di sini.

Kemasukan kapal selam dalam inventori aset Armada TLDM bukan sahaja meningkatkan keupayaan Armada malah melengkapkan keupayaan peperangan tiga dimensi iaitu peperangan bawah permukaan, aras permukaan dan anti-udara.

KD Tun Razak merupakan antara kapal selam yang paling senyap di dunia dan amat sukar dikesan serta dijejaki pihak lawan.

KD Tun Razak dinamakan bersempena Perdana Menteri kedua Malaysia Tun Abdul Razak Hussein sebagai mengenang jasa negarawan ulung itu atas sumbangannya kepada kemerdekaan, permodenan, pentadbiran dan pembangunan negara.

Ia bergerak dengan tenaga diesel dan boleh beroperasi sehingga kedalaman lebih 300 meter. Kapal selam pertama negara, KD Tunku Abdul Rahman tiba di Pelabuhan Klang pada 3 Sept, tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Lain