suria

Bangunan DUN Johor Dinamakan "Bangunan Sultan Ismail"

NUSAJAYA: Sultan Johor Sultan Ibrahim hari ini menamakan bangunan Dewan Undangan Negeri Johor di sini sebagai Bangunan Sultan Ismail dan bangunan Pejabat Menteri Besar Johor dan Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Bangunan Datuk Jaafar Muhammad.

Ketika merasmikan pembukaan persidangan Dewan Negeri Johor, baginda bertitah bahawa nama baru bangunan pejabat Menteri Besar Johor dan Setiausaha Kerajaan Negeri itu adalah sebagai menghargai sumbangan dan jasa Jaafar yang merupakan Menteri Besar Johor yang pertama.

"Sumbangan serta jasa beliau amat besar kepada negeri Johor," titah baginda.

Dalam titahnya juga, Sultan Ibrahim meminta rakyat terutama umat Islam supaya peka terhadap ancaman yang boleh membawa kepada pepecahan dan perselisihan.

Menurut baginda bertitah, fahaman tidak mengamalkan qunut, talkin, wirid, berdoa bersama-sama selepas solat berjemaah serta membaca Yaasin pada malam Jumaat, sering menimbulkan perpecahan dalam kalangan masyarakat Islam.

"Pegangan agama adalah sumber kekuatan untuk kita berhadapan dengan apa jua suasana dan cabaran. Marilah kita bersama-sama memperkukuhkan akidah dan amalan hidup kita berpandukan ajaran agama," titah baginda.

Baginda meminta agensi penguatkuasaan supaya mengambil tindakan bagi membendung penularan ajaran-ajaran yang bercanggah dengan fahaman Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Baginda mahu program membudayakan Al-Quran yang dilaksanakan sejak 15 tahun lalu di negeri itu diperkukuhkan dengan tenaga pembimbing diberi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana dan doktor falsafah.

Sultan Ibrahim turut melahirkan rasa tidak puas hati dengan tahap perkhidmatan kebersihan di Johor Baharu dan mahu kecekapan serta keberkesanan perkhidmatan kebersihan ditingkatkan.

Baginda turut meminta kerajaan persekutuan supaya menyegerakan pelaksanaan sistem pengurusan sisa pepejal yang baru bagi menjamin kelestarian alam sekitar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain