suria

Faekah Setiausaha Politik MB Selangor Ganti Nik Nazmi

SHAH ALAM: Faekah Husin malam ini diumumkan sebagai sebagai Setiausaha Politik Menteri Besar Selangor yang baru menggantikan Nik Nazmi Nik Ahmad yang dilantik sebagai Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Presiden PKR, Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail akan memasuki Pejabat Menteri Besar mulai 1 Julai ini, kata Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim ketika mengumumkan pelantikan itu di sini, malam ini.

Faekah, 45, sebelum ini merupakan peguam memperoleh Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Malaya pada tahun 1984.

Pada Mei 2008, beliau dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Universiti Selangor (Unisel) sebelum dilantik menjadi Setiausaha Syarikat Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).

Dalam PKR, beliau pernah memegang jawatan termasuk Setiausaha Keadilan Selangor dan Ahli Majlis Pimpinan Wanita parti hingga 2004.

Sementara itu, Nik Nazmi akan memulakan tugas di Ibu Pejabat parti pada tarikh yang sama.

mStar Online sebelum ini melaporkan pelantikan Ahli Dewan Undangan Negeri Seri Setia di peringkat parti.

Beliau dikatakan beralih jawatan kononnya dikatakan tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.

Sementara itu, Faekah pada sidang akhbar selepas itu berkata, pelantikan tersebut merupakan cabaran baru baginya yang sebelum ini menguruskan firma guamannya.

"Ini fasa dua perjuangan, saya yakin jika kerajaan negeri mampu mengotakan janji, ia akan terus memerintah," ujarnya.

Mengenai jawatannya dengan presiden parti, beliau akan terus berkhidmat sehingga penggantinya diumumkan.

Artikel Lain