suria

Empat Sekeluarga Jadi Bookie Judi Bola

KUALA LUMPUR: Empat sekeluarga terkejut besar apabila diserbu oleh pihak polis malam tadi ketika sedang leka menjalankan kegiatan perjudian secara online untuk pertaruhan bola sepak Piala Dunia.

Nilai pertaruhan dianggarkan bernilai antara RM60,000 hingga RM70,000 bagi setiap perlawanan.

Keluarga terbabit terdiri daripada pasangan suami isteri berumur lingkungan 40-an serta anak lelaki dan perempuan mereka berumur lingkungan 20-an.

Kesemua mereka ditahan di sebuah restoran milik mereka di Taman Midah, Cheras kira-kira 11 malam.

Operasi yang diberi nama Ops Soga melibatkan tujuh anggota pasukan khas memantau sindiket perjudian bola sepak telah melakukan intipan di sekitar kawasan tersebut setelah mendapat maklumat orang ramai.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap D7 Kuala Lumpur, DSP Razali Abu Samah berkata ketika serbuan dilakukan restoran itu dipenuhi ramai pelanggan yang sedang asyik menyaksikan perlawananan bola sepak antara Ghana dan Australia.

"Risikan awal mendapati terdapat beberapa pelanggan yang sering berjudi di restoran itu sebelum polis melakukan serbuan. Kesemua suspek terkejut dengan kehadiran anggota polis dan mereka tidak sempat melarikan diri," katanya.

Beliau berkata pada mulanya kesemua anggota keluarga berkenaan tidak mengaku melakukan kegiatan perjudian, namun selepas didesak akhirnya mereka mengaku.

"Ketika polis cuba menahan pasangan suami isteri itu, anak perempuan mereka cuba bertindak kasar terhadap seorang anggota polis," katanya menceritakan insiden yang turut berlaku dalam serbuan itu.

Dalam serbuan tersebut polis turut merampas wang tunai berjumlah RM3,550, dua set komputer, satu mesin faks, tiga telefon bimbit, satu alat kelui, dua mesin kira, sebatang pen dan 17 keping kertas pelbagai saiz tertulis angka berkaitan bookie bola.

Kesemua mereka akan disiasat di bawah Seksyen 6 (3) Akta Pertaruhan 1953. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain