suria

Sukarelawan PGPO Gesa Rakyat Malaysia Terus Lantang Bantah Kekejaman Zionis

SUNGAI SIPUT: Sukarelawan Perdana Global Peace Organisation (PGPO), Shamsul Akmar Musa Kamal hari ini menggesa rakyat negara ini agar terus lantang menyuarakan bantahan terhadap kekejaman rejim Zionis ke atas penduduk Palestin.

Ini kerana katanya, sebagai sebuah negara berbilang bangsa dengan pelbagai agama, Malaysia dilihat masyarakat antarabangsa sebagai negara yang unik.

Dunia juga melihat Malaysia sebagai sebuah negara Islam contoh yang tidak pernah membiarkan sekutu Israel mempengaruhi pendiriannya, kata beliau ketika berkongsi pengalamannya ditahan tentera rejim Zionis dengan masyarakat Sungai Siput, di sini hari ini.

Shamsul Akmar adalah antara enam warga Malaysia yang berada di atas kapal 'Rachel Corrie' iaitu kapal terakhir dalam konvoi menghantar bantuan kemanusiaan kepada penduduk Gaza baru-baru ini yang ditahan tentera Israel.

Sebelum itu 12 rakyat Malaysia di atas kapal 'Mavi Marmara' ditahan selama 28 jam oleh tentera rejim yang menyerang kapal tersebut dalam usaha menyekat penghantaran bantuan kemanusiaan berkenaan.

Menceritakan pengalamannya, Shamsul Akmar yang juga anak kelahiran Sungai Siput berkata beliau terkilan kerana bukan saja gagal menyempurnakan misi tetapi juga tidak dapat menyampaikan sekotak besar coklat yang diamanahkan abangnya untuk kanak-kanak Palestin.

"Semasa saya keluar dari kapal itu, saya lihat kerusi roda, alat perubatan, juga sekotak coklat di tepi kapal itu dan timbul rasa sayu dan hiba. Mengapa begitu kejam Israel ini yang menyekat sebarang bantuan. Kita bukan beri benda yang tidak baik," katanya.

Program itu dianjurkan Umno Bahagian Sungai Siput dan dihadiri lebih 100 penduduk. - BERNAMA

Artikel Lain