suria

RMK10 - Jenayah

KUALA LUMPUR: Kerajaan bertekad mengurangkan keseluruhan jenayah sekurang-kurangnya lima peratus setahun mulai tahun ini dengan matlamat mencapai pengurangan melebihi 25 peratus menjelang akhir 2015.

Menurut laporan Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK10) yang dibentang di Dewan Rakyat hari ini, usaha memerangi jenayah menjadi satu daripada enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) setelah dikenalpasti melalui responden daripada syarikat swasta bahawa jenayah, kecurian dan ketidaktenteraman merupakan halangan besar kepada pelaburan.

Laporan itu juga menyebut jenayah dan perasaan takut terhadap jenayah membawa kesan besar kepada kualiti hidup.

Bagi memerangi jenayah, kerajaan memperuntukkan RM2.04 bilion bagi tujuan itu.

Selain itu, kehadiran polis akan dipertingkat, khususnya di kawasan sering berlaku jenayah melalui inisiatif kesukarelawan itu.

Sehingga kini, tambahan seramai 3,150 polis sukarela telah digerakkan daripada Ikatan Relawan Rakyat Malaysia (Rela) serta Jabatan Pertahanan Awam bagi mencapai matlamai jangka sederhana, dan bilangannya akan ditambah kepada sekurang-kurangnya 5,000 menjelang 2015.

Kerajaan juga akan mengagihkan RM2.4 bilion sepanjang tempoh Rancangan bagi tujuan menaiktaraf balai polis dan kuarters serta menambah baik prospek kerjaya sebagai motivasi untuk meningkatkan prestasi badan berunifom itu.

Aktiviti kesukarelawanan pula terus digalak melalui pelbagai inisiatif antaranya Skim Rondaan Sukarela yang merupakan aktiviti kemasyarakatan di bawah program Rukun Tetangga.

Di bawah program ini rondaan di kawasan kejiranaan akan dilakukan dengan penyertaan penduduk setempat dan kerajaan akan memperuntukkan RM120 juta untuk inisiatif itu.

Selain itu, pemasangan 496 kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan sering berlaku jenayah di seluruh negara sedang dilaksana dan akan dihubungkan dengan pusat kawalan PDRM supaya tindakan pantas ke atas sebarang kejadian dapat diambil. - BERNAMA

Artikel Berikut

18 Kes Baru H1N1

Artikel Lain