suria

PDRM Tubuh Pasukan Khas Banteras Judi Haram Sempena Piala Dunia

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menubuhkan satu pasukan petugas khas bagi membendung kegiatan judi haram melalui talian menjelang Piala Dunia 2010 yang akan bermula dua hari lagi.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Lee Chee Leong berkata pasukan itu ditugaskan untuk memantau dan mengambil tindakan ke atas mana-mana pihak dan sindiket yang terlibat dalam aktiviti tersebut sepanjang Piala Dunia 2010 berlangsung.

"Kementerian Dalam Negeri tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan serius terhadap sindiket-sindiket perjudian dan orang perseorangan yang didapati bersalah di bawah Akta Rumah Judi Terbuka 1953 (Akta 289), Akta Pertaruhan 1953, Akta Jenayah Komputer 1977 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

"Hukuman yang boleh diambil di bawah akta-akta yang dinyatakan termasuk hukuman maksimum lima tahun dan denda maksimum RM200,000 terhadap penjudi dan penganjur mesin perjudian," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen, di sini hari ini.

Lee berkata terdapat dua bentuk perjudian menerusi talian iaitu 'online casino' dan 'online sports betting' yang berpusat di luar negara tetapi mempunyai ejen-ejen dalam negara yang beroperasi tanpa lesen.

Selain tindakan berkenaan, pihak yang ditangkap atas kesalahan sama boleh dikenakan tindakan sekatan atau tahanan di bawah undang-undang pencegahan iaitu Akta Kediaman terhad 1933, Ordinan Darurat 1959 dan Akta Pengubah Wang Haram (pembiayaan keganasan) 2007.

Lee berkata bagi pencegahan di peringkat antarabangsa PDRM turut menjalinkan kerjasama dengan pihak Interpol dalam membanteras aktiviti itu yang melibatkan negara-negara ASEAN.

"Kementerian berusaha memelihara hak asasi masyarakat dan pada masa sama membantu mengekalkan keselamatan dalam negeri dan ketenteraman awam. Orang awam juga dialu-alukan untuk memberi maklumat berkenaan sindiket perjudian dengan menghubungi Rakan Cop di talian 03-21159999 dan Bilik Kawalan MCC Bukit Aman di talian 03-22663333/3444," katanya.

Sementara itu Lee berkata bagi tempoh 2008 hingga April lepas, PDRM telah merampas 112,276 buah komputer dan membuat 15,106 tangkapan dalam 21,985 serbuan ke atas sindiket perjudian haram menerusi talian.

Katanya PDRM juga berjaya menumpaskan lima sindiket judi loteri haram tempatan daripada 13 serbuan yang dijalankan di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Johor, Kelantan dan Sabah pada tahun lepas.

"Nilai rampasan adalah berjumlah RM191,934 termasuk komputer, telefon bimbit wang tunai dan cek dengan anggaran pertaruhan sebanyak RM870,000 sehari atau RM10.44 juta sebulan atau RM125.28 juta setahun," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain