suria

Doktor Ditahan Kerana Dadah Kodein Cecair

SHAH ALAM: Polis menahan seorang doktor swasta kerana dipercayai memproses ubat-ubatan untuk dijadikan cecair kodein dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sungai Kapar Indah, Klang, Sabtu lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor Asisten Komisioner (ACP) Nordin Kadir berkata doktor warga tempatan berusia 49 tahun ditahan di rumahnya itu kira-kira pukul 1.30 pagi manakala seorang petugas sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) berusia 38 tahun ditahan di sebuah rumah berdekatan di taman yang sama sejam sebelum itu.

"Dalam kedua-dua serbuan itu, polis merampas 23 botol bersaiz empat liter dan 144 botol 120ml yang berisi cecair disyaki kodein, 900 biji pil Domicum, 6,000 biji pilNospon, 8,000 biji Pseudorine, 500 biji pil Suncodeine, 280 biji pil Stilnox serta 24 botol empat liter yang berisi 24 liter cecair hitam.

"Kesemua barangan yang dirampas bernilai hampir RM64,000," katanya kepada pemberita di pejabatnya di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor di sini hari ini.

Nordin percaya bekas doktor hospital kerajaan itu, yang kini mempunyai sebuah klinik, menjalankan aktiviti itu selama enam bulan.

"Sekarang tiada kodein dikeluarkan dan ia tersenarai sebagai satu bahan di bawah Akta Racun. Kodein akan menghasilkan khayalan kuat jika disalahgunakan," katanya.

Katanya doktor tersebut membayar sejumlah upah kepada suspek pertama untuk mencampuradukkan ubat-ubatan bagi dijadikan kodein yang dipercayai dijual kepada penagih dadah.

Beliau berkata polis sedang menyiasat rakan kongsi klinik doktor berkenaan, yang mempunyai rekod kesalahan lampau pada 2005 sebab menjual ubat-ubatan kepada mereka yang tidak berkenaan.

"Polis juga sedang siasat sama ada doktor itu menjual cecair kodein itu dari rumahnya," katanya.

Kedua-dua suspek direman sehingga 16 Jun ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Kodein yang didapati dalam ubat-ubat batuk digunakan untuk mengurangkan rasa sakit yang ringan dan ia tidak memberikan kesan ketagihan jika berbanding dengan heroin ataupun morfin.

Biasanya kodein diminum dalam bentuk ubat batuk dan juga diambil dalam bentuk pil yang dibancuh dengan air. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain