suria

Syafiah Humaira Disepak, Pijak Guna Kasut Bola

Ahmad Fikrihalis (depan tengah) memberi keterangan di Mahkamah Tinggi berhubung apa yang dilihatnya berlaku pada Syafiah Humairah. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN / THE STAR.
Ahmad Fikrihalis (depan tengah) memberi keterangan di Mahkamah Tinggi berhubung apa yang dilihatnya berlaku pada Syafiah Humairah. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN / THE STAR.
Ahmad Fikrihalis (depan tengah) memberi keterangan di Mahkamah Tinggi berhubung apa yang dilihatnya berlaku pada Syafiah Humairah. Foto IQMAL HAQIM ROSMAN / THE STAR.

SHAH ALAM: Seorang pelajar tingkatan enam yang baru pulang dari menghiasi khemah rumah sukan di sekolah menyaksikan kejadian seorang kanak-kanak berusia tiga tahun empat bulan, Syafiah Humaira Sahari ditendang dan dipijak pada bahagian perut kerana dikatakan enggan memakai selipar.

Ahmad Fikrihalis Zakaria, 19, saksi pendakwaan ke-enam berkata, kejadian itu berlaku di padang bola dan dia melihat pemandu teksi, Mohd Fazli Azri Jamil yang dituduh membunuh Syafiah Humaira memakai kasut bola jenama Puma semasa melakukan perbuatan itu.

Ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi di sini hari ini, Ahmad Fikrihalis menambah, dia yang menunggang motosikal menghampiri tertuduh kerana melihat Syafiah Humaira dipijak semasa sedang baring.

“Semasa saya berhenti, Abang Mat (nama panggilan tertuduh) bertanya pada saya jika saya pernah melihat budak kena terajang. Saya tanya kenapa buat begitu kerana dia (Syafiah Humaira) seorang budak.

“Selepas itu, Abang Mat sepak bahu kiri Syafiah Humaira yang duduk melunjur dengan kaki lurus ke depan...tendangan dari arah depan. Tendangan Abang Mat kuat kerana Syafiah Humaira terpelanting ke belakang,” kata saksi semasa disoal Timbalan Pendakwa Raya Idham Abd Ghani.

Pelajar tingkatan enam di Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Mashor, Batang Kali, dekat sini menambah, Syafiah Humaira tidak menangis tetapi hanya terbaring selepas diperlakukan sedemikian.

Syafiah Humaira yang manja dipanggil ‘Pia’ juga tidak bermaya untuk bangun walaupun diminta berbuat demikian oleh tertuduh.

“Saya lihat Abang Mat menjinjing tangan Syafiah Humaira dan kemudian lepaskan tangan menyebabkan dia jatuh. Saya tanya apa yang berlaku dan Abang Mat cakap budak kecil itu enggan pakai selipar,” katanya.

Ahmad Fikrihalis juga memberitahu, dia menawarkan diri bagi mendukung Syafiah Humaira untuk dibawa masuk ke teksi tertuduh yang berada di tepi padang bola.

“Masa saya angkat, saya dengar Syafiah Humaira mengadu sakit. Saya bawa dia ke kereta dan sandarkan pada kerusi penumpang bahagian hadapan.

“Saya lihat Syafiah Humaira lebam di pipi kanan dan ada kesan tapak kasut bola di perut. Saya nampak kerana baju dia terselak,” katanya.

Saksi itu juga menambah, seorang budak kampung berkenaan, Muhammad Nur Afiq Othman turut membantu dia membuka pintu teksi dan beberapa kanak-kanak lain turut menghampiri teksi tertuduh.

Ini telah menyebabkan tertuduh marah lalu meninggalkan padang. Pada ketika itu, waktu sudah pukul 7 malam dan hampir masuk Maghrib.

Turut berada di dalam kereta ialah anak tertuduh, Syakimie Iqbal, dua tahun, yang dilahirkan hasil hubungan tertuduh dengan emak Syafiah Humaira, Siti Nurhanim Aziz, 25 tahun.

Mohd Fazli Azri didakwa membunuh Syafiah Humaira pada pukul 6.30 petang, 25 Februari lalu di padang bola sepak, Jalan Utama, Kawasan Rumah Murah Batu 30, Ulu Yam Lama, Batang Kali, dekat sini.

Pendakwaan dikendalikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Gurbachan Singh.

Perbicaraan yang dijalankan di hadapan Hakim Datuk Wira Mohtarudin Baki akan bersambung esok.

Artikel Lain