suria

Dua Anggota "Geng Tebuk" Diberkas Di Pulau Pinang

PULAU PINANG: Polis Pulau Pinang semalam memberkas dua anggota "Geng Tebuk", satu kumpulan penjenayah yang dipercayai terbabit dalam beberapa rompakan bank di Kelantan, Johor, Perlis dan Perak.

Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata, kedua-dua lelaki berusia 37 dan 45 tahun itu, diberkas setelah keluar dari sebuah rumah mewah di Sungai Pinang di sini.

Beliau berkata polis menjumpai pelbagai peralatan seperti mesin gerudi dan alat penebuk dalam sebuah bilik bawah tanah.

Dalam pemeriksaan susulan di sebuah di Jelutong, polis menemui komputer riba yang mempunyai pelan bangunan sebuah pajak gadai di sini manakala di sebuah lagi rumah di Bandar Baru Air Itam, polis menemui enam pucuk pistol tiruan dan satu senapang tiruan.

Antara barangan lain yang ditemui ialah anak kunci, resit pembelian emas dan beberapa barangan untuk memecah masuk sesebuah bangunan, lima pelekat cukai jalan palsu dan enam plat nombor kenderaan palsu termasuk nombor plat kenderaan Singapura.

Tun Hisan berkata kedua-dua lelaki itu, yang masing-masing bekerja sebagai kontraktor dan pendawai elektrik, didapati positif dadah serta mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya polis masih menjalankan siasatan bagi mencari saki baki anggota kumpulan itu. - BERNAMA

Artikel Lain