suria

PGM Sandakan Rampas 762 Kotak Minuman Keras Seludup

SANDAKAN: Polis Gerakan Marin (PGM) Sandakan menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing, dan merampas 762 kotak minuman keras yang cuba diseludup ke dalam negara bernilai RM71,000, dalam dua serbuan di sini, dua hari lepas.

Penolong Pegawai Pemerintah PGM Sandakan, Asisten Supritendan Awang Mat Yassin Ahmad berkata, rampasan pertama membabitkan 208 kotak minuman keras bernilai RM11,000 yang ditemui dalam sebuah premis di Jalan Leila, Bandar Ramai-Ramai di sini pada pukul 6 petang.

"Seorang rakyat tempatan berusia 43 tahun yang menyewa premis itu ditahan dalam serbuan tersebut selepas dia gagal mengemukakan dokumen berkaitan minuman keras itu," katanya pada satu persidangan akhbar di sini hari ini.

Beliau berkata, kira-kira setengah jam kemudian di kawasan yang sama, pihaknya menahan sebuah lori dan menemui 554 kotak minuman keras pelbagai jenama di dalamnya, yang dianggarkan bernilai RM60,000.

Menurutnya, pemandu lori itu berjaya melarikan diri, manakala dua warga Filipina berusia 26 dan 28 tahun yang merupakan kelindan lori berjaya ditahan, dan mereka hanya memiliki Kad Pelarian IMM 13.

Awang Mat Yassin berkata, serbuan itu merupakan sebahagian daripada operasi yang dijalankan oleh pihaknya bagi membanteras kegiatan penyeludupan minuman keras yang dipercayai meningkat selaras dengan ketibaan sambutan Hari Kaamatan hujung minggu ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain