suria

3 Pelajar UTM ke Harvard Di bawah Program Global Outreach

KUALA LUMPUR: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meletakkan sasaran untuk menghantar 5,000 penuntutnya ke luar negara di bawah program global outreach khususnya di universiti-universiti perdana seperti Harvard.

Naib Canselor UTM, Prof. Datuk Dr Ir Zaini Ujang berkata, selain memberi pendedahan di peringkat global, program itu diharap dapat memberi peluang kepada penuntut UTM melihat dan merasai sendiri cara pembelajaran dan pengajaran universiti ternama dunia.

"Tujuan kita menghantar mahasiswa ke luar negara adalah bagi memberi mereka pendedahan global dan meningkatkan keyakinan diri sesuai dengan pembangunan kemahiran insaniah mahasiswa," katanya selepas memperkenalkan tiga calon mahasiswa UTM yang bakal menyertai Kursus Musim Panas di Universiti Harvard bulan depan.

Mereka akan berada di universiti terkemuka dunia itu selama tujuh minggu.

Tiga mahasiswa yang terpilih itu adalah penuntut tahun dua program Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal, Hoo Khee wun, penuntut tahun empat Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia, Melissa Yap Hsiao Theng dan Pelajar tahun empat Sarjana Muda Pendidikan (TESL) Nurul Farah Zulkifly.

Ketiga-tiga mereka bakal mengikuti kursus bahasa Inggeris dan Linguistik selama tujuh minggu di universiti terkemuka dunia itu.

Menurut Zaini, program yang telah berjaya menghantar seramai 1,100 penuntut universiti itu ke luar negara tahun lalu adalah sebahagian daripada aktiviti yang dirancang UTM menerusi program Global Outreach.

Menurutnya, kursus berkenaan mampu menyediakan peluang kepada mahasiswa UTM mendalami sesuatu bidang ilmu dalam proses melahirkan graduan berdaya saing dan bercitra global.

"Sambutan terhadap program itu amat menggalakkan dan mahasiswa yang terpilih perlu melalui proses saringan yang ketat kerana mereka turut membawa reputasi universiti dan imej negara," katanya.

Zaini memberitahu, kriteria pemilihan bagi mengikuti kursus tersebut adalah memiliki kelulusan akademik yang baik dengan CPA minimum 3.0 dan memperolehi band 7.0 bagi IELTS.

Sementara itu, bagi Nurul Farah, 23 tahun, peluang menimba ilmu di universiti terkemuka dunia itu disifatkan sebagai peluang sekali seumur hidup.

Nurul Farah berkata, pada mulanya dia seperti tidak mempercayai selepas diberitahu terpilih mengikuti program itu tetapi kini telah bersedia untuk mengikuti program musim panas di Harvard.

"Memandangkan saya dan rakan-rakan akan mengikuti kursus bahasa disana, pelbagai persediaan telah saya lakukan seperti membuat beberapa kajian dan memperbanyakkan lagi bahan bacaan," katanya.

Menurut Nurul lagi, peluang merantau ke negara orang untuk satu jangka masa yang singkat diharap dapat memberinya satu prespektif berbeza mengenai cara pelajar di Harvard belajar supaya dapat dikongsi bersama penuntut lain di Malaysia apabila pulang ke tanah air kelak.

Manakala bagi Hoo, 22 tahun, perasaan gugup dan gementar tidak dapat disembunyikan kerana ini adalah kali pertama beliau ke luar negara dan tempat pertama yang dituju adalah Universiti Harvard.

"Walaupun saya akan mengikuti kursus berbeza dengan apa yang saya pelajari sekarang, saya cukup bertuah kerana dapat menjejakkan kaki ke sana," katanya.

Selain dapat mempelajari perkara baru disana nanti, Ho berharap program tersebut dapat mengajarnya erti kehidupan sebenar kerana di sana nanti mereka semua akan berdikari tanpa bantuan orang lain.

"Saya berharap dapat belajar sesuatu yang baru dan berbeza daripada apa yang saya belajar sekarang dan tidak sabar-sabar untuk berkongsi pengalaman itu dengan semua rakyat Malaysia," katanya.

Zaini dalam pada itu berkata, program berkenaan diharap dapat melengkapkan lagi profil graduan UTM bagi menghadapi era globalisasi dan alam pekerjaan dan memenuhi kehendak pasaran yang mahukan graduan lebih berfikiran matang dan dapat menangani isu yang merentasi bidang pengajian masing-masing.

"Kursus berkenaan dapat memperkayakan program pengajian di UTM serta dapat menarik minat lebih ramai pelajar tempatan yang berkualiti melanjutkan pengajian mereka di UTM," katanya.

Artikel Lain