suria

Vell Paari Perlu Kemukakan Bukti Umno Terlibat: Tun Dr M

KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, anggota Jawatankuasa Pusat MIC, Vel Paari seharusnya memberi bukti yang jelas bahawa Umno terlibat dalam perhimpunan Gerakan Anti Samy Vellu (GAS) di sini Ahad ini.

"Vell Paari tidak boleh menuding jari kepada sesiapa tanpa mengemukakan apa-apa bukti," katanya ketika diminta mengulas dakwaan anak Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu itu bahawa Umno terlibat dalam perhimpunan GAS.

Timbalan Ketua Pemuda MIC V.Mugilan, yang dipecat daripada parti itu pada 20 Mei lepas, mengumumkan penubuhan GAS untuk mendesak Samy Vellu melepaskan jawatan.

Dr Mahathir berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan ucap utama di Persidangan Meniti Hari Tua Secara Sihat kali ke-lima di sini hari ini.

Mengenai Samy Vellu yang pernah berada dalam Kabinet hampir tiga dekad, Dr Mahathir berkata Presiden MIC itu sepatutnya sudah mengundurkan diri.

"Saya bukan mewakili Umno tetapi sudah lama, saya katakan bahawa seseorang itu mestilah jangan melebihi tempohnya dan yang lain dialu-alukan. Sebab itulah saya mengundurkan diri. Saya fikir beliau berkhidmat lebih lama daripada saya."

"Saya fikir beliau telah mewujudkan satu rekod. Saya fikir seseorang itu hendaklah berpuashati dengan kewujudan rekod seperti itu," katanya.

Sementara itu, dalam ucaptamanya pada persidangan tersebut, beliau berkata untuk menua secara sihat seseorang itu perlu berusaha untuk mendapatkannya.

"Anda tidak dapat semua dengan percuma. Anda kena kerja kuat, tetapi jangan kerja terlalu keras. Orang yang bekerja terlalu keras akan menua cepat," katanya.

Dr Mahathir berkata, antara rahsia untuk sentiasa kelihatan sihat dan muda adalah sentiasa gembira dalam setiap kerja yang dilakukan.

Beliau berkata, mengelakkan diri daripada merokok dan minum minuman beralkohol serta makan secara sederhana juga dapat mengelakkan penyakit berbahaya di samping membuatkan seseorang itu kelihatan muda. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain