suria

Tiga Maut Kereta Bertembung Lori Di Tanah Merah

TANAH MERAH: Tiga lelaki terbunuh dan seorang cedera apabila kereta yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori di Kilometer 56 Jalan Kota Baharu-Machang-Jeli berhampiran Pusat Giat Mara dekat sini pagi tadi.

Ketua Polis Tanah Merah Deputi Supritendan (DSP) Abdul Aziz Mahmud berkata nahas berlaku pada 8.15 pagi tadi ketika empat sahabat itu dalam perjalanan dari Sungai Buloh di Selangor ke Jeli manakala pemandu lori bersama seorang kelindan dipercayai dalam perjalanan dari Kedah menuju ke Pasir Mas.

Mereka yang terbunuh dikenali sebagai Tan Check Heng, 24, yang memandu kereta jenis Proton Wira itu, Tong Yew Thiam, 19, dan Kyaw Kyaw Lin, 30, seorang rakyat Myanmar.

Tan dan Kyaw meninggal dunia di tempat kejadian manakala Tong meninggal dunia di Hospital Tanah Merah.

Seorang yang terselamat, Yap Chua Hong, 19, kini menerima rawatan lanjut di Hospital Tanah Merah.

Abdul Aziz berkata keempat-empat mangsa dalam kereta terbabit yang bekerja di sebuah kedai cermin sedang menuju ke Jeli untuk memasang cermin di sebuah bank. - BERNAMA

Artikel Lain