suria

157 Majikan Tidak Mencarum KWSP Didenda RM172,410

KUALA LUMPUR: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah mengambil tindakan mahkamah terhadap 157 majikan antara bulan Januari dan Mac 2010 (S1) kerana tidak mencarum kepada KWSP bagi pihak pekerja mereka.

Semua 157 majikan terbabit telah dikenakan denda berjumlah RM172,410.

Denda yang dikenakan di antara RM1,000 dan RM5,400 adalah bagi kesalahan di bawah Seksyen 43(2) Akta KWSP 1991 yang menetapkan semua majikan membayar caruman bulanan mereka sebelum atau pada 15 haribulan setiap bulan atau akan dikenakan tindakan undang-undang.

Pengurus Besar Perhubungan Awam KWSP, Nik Affendi Jaafar berkata, majoriti majikan bertanggungjawab dan sedar akan kewajipan mereka untuk mencarum secara teratur, namun masih terdapat segelintir majikan gagal berbuat demikian.

“Amat penting untuk majikan mengetahui bahawa KWSP memandang serius isu berkaitan caruman dan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang dalam usaha melindungi simpanan persaraan ahli,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Pada suku pertama tahun ini, sebanyak 285 kes sivil dan 1,868 kes jenayah difailkan di mahkamah terhadap pengarah syarikat dan majikan yang tidak membayar caruman KWSP mereka.

KWSP juga telah mengemukakan 320 nama pengarah syarikat, berbanding 221 pada suku tahun sebelumnya kepada Jabatan Imigresen bagi menahan mereka daripada meninggalkan negara sebelum menjelaskan tunggakan caruman seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 39, Akta KWSP 1991.

Lazimnya, mahkamah memberikan majikan maksimum enam kali bayaran ansuran untuk menjelaskan tunggakan caruman.

Dalam tempoh berkenaan KWSP akan terus memantau majikan terbabit bagi memastikan tunggakan caruman dibayar sepenuhnya.

KWSP akan mengkreditkan tunggakan caruman itu ke dalam akaun ahli setelah majikan membayar semua tunggakan caruman berkenaan.

Menurut Nik Affendi, KWSP sentiasa mengutamakan kepentingan ahli dan akan mengambil segala langkah perlu bagi memastikan simpanan persaraan ahli terus dilindungi.

“Bagaimanapun, adalah penting bagi ahli untuk turut memainkan peranan dengan sentiasa menyemak penyata kira-kira mereka bagi memastikan majikan membayar caruman dengan teratur dan pada masa yang ditetapkan.

"Jika terdapat keraguan, ahli dinasihati untuk mendapatkan penjelasan daripada majikan atau melaporkan kepada KWSP dengan segera,” katanya.

Artikel Lain