suria

31 Lagi Positif H1N1 Dikesan Jadikan Jumlahnya Kini 14,662

KUALA LUMPUR: Sejumlah 31 kes disahkan positif Influenza A (H1N1) dikesan sehingga petang semalam, menjadikan jumlah terkumpul kes itu kini ialah 14,662.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Mohd Ismail Merican dalam satu kenyataan pada Ahad berkata Kementerian Kesihatan turut menerima dua laporan kejadian kluster penyakit serupa influenza (ILI) di Selangor.

Menurutnya jumlah kes ILI yang masih dirawat di wad seluruh negara ialah 549 kes dan 75 kes daripadanya disahkan positif H1N1, manakala bilangan kes ILI di Unit Rawatan Rapi (ICU) ialah lapan kes dengan kesemuanya berisiko H1N1.

"Tiada laporan kematian diterima menjadikan jumlah terkumpul kematian H1N1 sehingga hari ini kekal 86 orang," katanya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berkaitan virus influenza A (H1N1) seperti fasiliti kesihatan kerajaan yang menyediakan kemudahan pelalian kepada kumpulan berisiko serta langkah-langkah pencegahan boleh melayari lawan sesawang di http://www.moh.gov.my atau http:h1n1.moh.gov.my atau menghubungi hotline Kementerian Kesihatan di talian 03-88810200/300. - BERNAMA

Artikel Lain