suria

MB Selangor Nafi Dokumen Sulit Isu Pasir Bocor

SHAH ALAM: Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menafikan berlakunya kebocoran kandungan dokumen sulit membabitkan isu pasir yang diserahkan kepadanya oleh Anggota Parlimen Kapar, S.Manikavasagam, pada Rabu lepas.

Katanya beliau hanya menyerahkan dokumen yang diterima itu kepada setiausaha politiknya, Nik Nazmi Nik Ahmad, bagi perhatian Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT).

"Saya tidak akan membenarkan dokumen yang diserahkan kepada saya disebarkan kepada mereka yang tidak berkenaan dan juga orang awam melainkan melalui satu proses," katanya ketika ditemui pemberita di pejabat Selangor State Investment Centre Bhd di i-City di sini.

Jumaat lalu, Manikavasagam mendakwa dokumen yang diserahkan kepada Khalid itu turut diperoleh beberapa pegawai tinggi kerajaan negeri serta Selcat sedangkan dokumen itu adalah rahsia dan untuk Menteri Besar sahaja.

Manikavasagam dilaporkan berkata beliau hilang kepercayaan terhadap Khalid kerana dokumen sulit itu terlepas ke tangan pihak lain, termasuk Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri yang bertanggungjawab terhadap pengeluaran dan perniagaan pasir di Selangor.

Pada Rabu lepas, Anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat itu membuat laporan polis dengan mendakwa berlaku kegiatan rasuah dalam KSSB.

Pada pagi hari yang sama beliau bertemu Abdul Khalid untuk mengemukakan aduan rasmi dan menyerahkan dokumen-dokumen berkaitan dakwaan itu.

Berikutan laporan yang dibuat kepada Khalid, kerajaan Selangor telah merujuk dakwaan rasuah itu untuk disiasat oleh SELCAT. -BERNAMA

Artikel Lain