suria

Sibu: Jangan Sentuh Isu Agama - Polis

SIBU: Polis hari ini memberi amaran kepada parti politik yang bertanding pada pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Sibu agar tidak membangkitkan isu agama ketika berkempen.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Sarawak SAC II Huzir Mohamed berkata ada yang menggunakan isu kalimah "Allah" dalam ceramah mereka.

"Perkara ini telah diselesaikan tetapi ada yang mengeksploitasikannya sekali lagi.

"Ia adalah isu sensitif dan semua yang terlibat mesti berhenti daripada membangkitkannya," katanya pada sidang akhbar di ibu pejabat tektikal polis pilihan raya kecil Sibu (Martek) di Lanang Road di sini.

Huzir berkata setakat ini polis memantau 40 kempen dan mengeluarkan 101 permit untuk ceramah kepada kedua-dua pihak (Barisan Nasional dan DAP). Tiada permohonan permit ceramah daripada calon bebas Narawi Haron.

Beliau berkata polis menerima tiga aduan berhubung kempen pilihan raya kecil itu tetapi berdasarkan siasatan ia didapati tidak kukuh.

Sementara itu, Huzir berkata beliau telah memberi arahan kepada anggotanya untuk menahan mereka yang menggunakan kenderaan untuk berkempen melalui pembesar suara di jalan raya, tanpa mengira daripada parti politik mana.

Beliau berkata tindakan seumpama itu boleh menyebabkan kemalangan jalan raya.

"Ia boleh digunakan jika kenderaan itu tidak bergerak dan di kawasan yang dikhaskan untuk ceramah," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain