suria

Pemuda Pakatan Pembangkang Buat Laporan Polis Terhadap Azhar

PULAU PINANG: Sekretariat Pemuda pakatan pembangkang negeri hari ini membuat laporan polis terhadap Ketua Pembangkang Pulau Pinang Datuk Azhar Ibrahim atas dakwaan mengeluarkan perkataan berunsur hasutan.

Koordinator program sekretariat itu, Syed Mikael Rizal Aidid, berkata laporan itu dibuat bagi membolehkan polis membuka kertas siasatan terhadap Azhar.

"Walaupun Azhar telah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Undangan Negeri, kami masih mahu polis menyiasat perkara itu," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan itu di balai polis Beach Street di sini.

Beliau berkata tindakan patut diambil terhadap Azhar kerana ia merupakan perkara serius yang boleh mengganggu-gugat keharmonian antara kaum di negara ini.

Turut mengiringi Syed Mikael untuk membuat laporan itu ialah anggota jawatankuasa eksekutif Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Faruk Abdul Rahman dan wakil rakyat DAP Teh Yee Cheu dan Koid Teng Guan.

Azhar, yang juga wakil rakyat kawasan Penaga, didakwa mengeluarkan perkataan berunsur hasutan semalam pada persidangan Dewan Undangan Negeri semasa sesi penggulungan oleh Ketua Menteri Lim Guan Eng. - BERNAMA

Artikel Lain