suria

Gaji Pengawal Keselamatan Tetap Naik Mulai 1 Julai

MELAKA: Kenaikan gaji untuk pengawal keselamatan mulai 1 Julai ini tetap dilaksanakan walaupun terdapat syarikat keselamatan yang kurang mampu untuk melaksanakannya.

Menteri Sumber Manusia Datuk Dr S. Subramaniam berkata sebarang masalah yang timbul berhubung perkara itu akan diselesaikan oleh kementerian itu dan Kementerian Dalam Negeri.

"1 Julai ini akan dilaksanakan kerana ia sudah diwartakan, semua isu yang timbul kita akan selesaikan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama pada persidangan antarabangsa mengenai dialog antara budaya di sini, malam tadi.

Khamis lepas, Subramaniam mengumumkan kira-kira 150,000 pengawal keselamatan akan menikmati gaji pokok antara RM1,100 dan RM1,450 sebulan iaitu kenaikan antara 67 dan 75 peratus, mulai 1 Julai.

Berikutan pengumuman itu terdapat beberapa syarikat pengawal keselamatan meminta kerajaan menyediakan satu mekanisme bagi membantu syarikat yang kurang mampu untuk memberikan gaji baru itu.

Persidangan antarabangsa itu berlangsung selama lima hari bermula semalam dan ia dihadiri peserta dari 25 negara. Turut hadir Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang juga pengerusi Yayasan Belia Dunia (WYF). BERNAMA

Artikel Lain