Abu Zahar Minta Semua Wakil Rakyat Mainkan Peranan Demi Rakyat

KUALA LUMPUR: Yang Dipertua Dewan Negara yang baru dilantik, Tan Sri Abu Zahar Ujang meminta semua wakil rakyat terutama anggota Parlimen dan juga anggota Dewan Negara memainkan peranan masing-masing demi kepentingan rakyat.

Beliau berkata mereka perlu memainkan peranan yang sejajar dengan gagasan 1Malaysia dan slogan "Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan" yang diilhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya berpendapat bahawa Parlimen yang ada dua dewan (iaitu) Dewan Rakyat dan Dewan Negara adalah satu badan yang amat penting dalam negara yang mengamalkan demokrasi.

"Kerajaan yang dipilih oleh rakyat adalah untuk rakyat, maka Parlimen ini satu badan dewan yang mulia di mana semua wakil rakyat akan berhujah dan memberi pandangan dan membuat undang-undang negara," katanya pada sidang media di lobi Parlimen di sini pada Isnin.

Katanya, dengan pelantikannya sebagai Yang Dipertua Dewan Negara, beliau akan berusaha sedaya upaya memberi khidmat terbaik untuk melaksanakan segala hasrat dan kepecayaan yang diberikannya.

"Saya tidak menjangka dilantik sebagai Yang Dipertua, bagaimanapun saya menjunjung kasih ke bawah Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong kerana memberi perkenan serta mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi kepercayaan kepada saya," katanya.

Katanya pelantikan itu adalah untuk tempoh tiga tahun bergantung kepada tahap kesihatannya serta kepercayaan Perdana Menteri.

Beliau turut menyatakan perasaan terharu apabila disambut oleh penyokongnya apabila keluar dari persidangan dewan pagi Isnin.

"Saya tidak menjangka penyokong-penyokong dari pelbagai kaum datang, dan saya amat terharu kehadiran mereka dan (berjanji akan) komited kepada segala harapan mereka," katanya.- BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain

Harga petrol, diesel naik