suria

Wanita Mati Dipercayai Dibunuh Teman Lelaki

KUALA LUMPUR: Seorang wanita ditemui mati dengan kesan tikaman di rusuk kanannya yang dipercayai dilakukan oleh teman lelakinya yang kemudian bertindak cuba membunuh diri dengan meminum racun serangga dalam kejadian di Ampang Jaya malam tadi.

Pasangan tersebut ditemui terbaring di atas katil di dalam sebuah rumah di Kondominium Pandan Indah Heights, dengan keadaan mangsa Chung Yoke Man, 27, berlumuran darah manakala teman lelakinya Chang Kok Hong, 26, mempunyai kesan calar di badan dan tidak sedarkan diri.

Turut ditemui di sisi mayat Chung ialah sebilah pisau, kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Abdul Jalil Hassan.

Kejadian kira-kira 12.15 malam itu disedari oleh ibu lelaki tersebut yang apabila gagal menghubungi anaknya telah pergi ke rumah teman wanita anaknya itu.

"Ibu Chang telah mengetuk pintu bilik tidur utama rumah itu, namun tiada sebarang jawapan. Beliau lalu menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat Pandan Indah.

"Pihak bomba yang tiba kemudiannya terpaksa memecahkan bilik itu dan menemui kedua-duanya dalam kedaan tersebut," kata Abdul Jalil.

Rumah tersebut turut dihuni dua lelaki warga asing dan seorang wanita tempatan.

Beliau berkata, Chung dipercayai ditekup pada mulutnya sebelum dibunuh.

Mayatnya dihantar ke Hospital Kuala Lumpur manakala Chang yang merupakan seorang duda dan bapa kepada dua anak dihantar ke Hospital Ampang untuk menerima rawatan.

Beliau berkata, pasangan yang bekerja sebagai pelayan kelab malam dan tukang kayu itu dikatakan telah setahun tinggal sebumbung.

Abdul Jalil berkata, polis turut mengambil keterangan tiga orang penyewa rumah itu.

"Ketika kejadian dua lelaki yang menyewa bilik di rumah itu turut berada di dalam rumah tetapi tidak mendengar sebarang pergaduhan atau jeritan mangsa," katanya.

Polis tidak menolak bahawa motif pembunuhan adalah berpunca daripada perasaan cemburu. - BERNAMA

Artikel Lain