suria

Pos Malaysia Akan Semak Harga Setem

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia hari ini berkata, ia perlu menaikkan harga setem pos domestik untuk menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Keadaan ekonomi yang mencabar kini boleh mengurangkan daya tahan perniagaan dan menjejaskan keberkesanan operasi, kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Syed Faisal Albar dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Jika Pos Malaysia tidak meningkatkan harga, ia akan terus mengalami kerugian operasi sebanyak RM20 juta setahun mulai tahun ini, katanya.

"Harga setem pos domestik adalah berasaskan kos sebenar bagi pemprosesan dan penghantaran barangan pos sejajar dengan keadaan ekonomi sekarang dan amalan terbaik antarabangsa bagi organisasi pos.

"Peningkatan harga pos telah lama diperlukan bukan sahaja untuk posmen kami, tetapi juga kerana harga kami adalah salah satu daripada yang termurah di dunia," tambah beliau.

Bagi mel standard dengan berat sehingga 20 gram, harga akan dinaikkan dari 30 sen kepada 60 sen dan sehingga 50 gram, ia akan dinaikkan dari 40 sen kepada 70 sen.

Harga bagi mel tidak standard di bawah 100 gram, cetakan berkala, dokumen, mel berdaftar dan bungkusan di bawah dua gram juga akan dipinda. Perubahanakan dilaksanakan pada 1 Jun.

Ini akan menyokong pengstrukturan gaji posmen dan kerani kaunter yang kini menerima 19 peratus kurang daripada gaji asas pekerja kerajaan, kata kenyataan itu. - BERNAMA

Artikel Lain