suria

Selepas Zahrain, Zulkifli Dominasi Sidang Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR: Minggu pertama didominasi Anggota Parlimen Bayan Baru Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim, manakala Zulkifli Noordin dari Kulim Bandar Baharu mencuri perhatian minggu kedua persidangan Dewan Rakyat.

Zulkifli, wakil Bebas yang dipecat Parti Keadilan Rakyat (PKR) 6 Mac lepas, mengemparkan dewan dengan pendedahan mengenai taktik kotor pihak tertentu dalam pembangkang untuk menjatuhkan lawan termasuk kepimpinan negara.

Beliau mendedahkan bagaimana ketika masih dalam PKR beliau menerima tawaran yang boleh "menggoyahkan iman" untuk memfitnah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dengan mengaitkan mereka dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Selain itu, katanya, beliau juga diminta mengaitkan anak kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz berhubung satu kes pembunuhan pada 2004.

Zulkifli berkata pendedahan itu dibuat kerana budaya fitnah semakin berleluasa dalam pakatan pembangkang termasuk tindakan pihak tertentu yang mahu menjatuhkan Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dengan menabur dakyah kepada Mursyidul Am PAS itu.

Tindakan Zulkifli menyebabkan Anggota Parlimen Bukit Gelugor Karpal Singh yang juga Pengerusi DAP mencabar beliau sehari kemudiannya supaya mendedahkan pihak ketiga yang dimaksudkannya. Karpal juga mencabar Zulkifli dan tiga lagi wakil rakyat Bebas keluar PKR iaitu Zahrain (Bayan Baru), Mohsin Fadzli Samsuri (Bagan Serai) dan Tan Tee Beng (Nibong Tebal) untuk meletakkan jawatan.

Bagaimanapun, empat wakil rakyat terbabit bertindak balas pada hari yang sama mencabar pemimpin veteran DAP itu menyatakan pendiriannya mengenai enam perkara termasuk kedudukan agama Islam di negara ini.

Bertindak sebagai jurucakap kumpulan itu, Zulkifli antara lain mendesak Karpal menyatakan pendiriannya berhubung cadangan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang supaya rukun pertama dalam Rukun Negara ditukar daripada Kepercayaan Kepada Tuhan kepada Kepercayaan Kepada Allah berhubung isu kalimah Allah.

Selain itu Karpal juga dicabar menjawab mengenai tindakannya mempersoalkan kedudukan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ketua pembangkang termasuk meminta penasihat PKR itu bertaubat berhubung rancangan 16 September pembangkang.

Minggu lepas, Zahrain mendedahkan mengenai kegagalan rancangan 16 September pembangkang untuk mengambil alih kerajaan selain mendakwa bagaimana ketua pembangkang membohongi wakil rakyat pembangkang kononnya rancangan itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan disokong Panglima Angkatan Tentera.

Beberapa penyokong kerajaan antaranya Anggota Parlimen Kinabatangan Datuk Bung Moktar Radin dan Anggota Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir menyifatkan pendedahan itu menunjukkan sikap hipokrasi pembangkang yang sanggup melakukan apa sahaja untuk berkuasa.

Kedua-dua dakwaan daripada Zulkifli dan Zahrain kini disiasat pihak polis.

Selain pendedahan Zulkifli, turut dibahaskan di Dewan Rakyat ialah dakwaan ketua pembangkang mengenai APCO Worldwide kononnya firma komunikasi antarabangsa itu bertanggungjawab membuat gagasan 1Malaysia yang dikaitkan dengan slogan "One Israel".

Dewan Rakyat memberikan masa seminggu kepada Anwar untuk menjelaskan dakwaannya itu pada Selasa depan atau beliau akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen selepas perkara itu disifatkan menyelewengkan Dewan oleh penyokong kerajaan.

Apabila Anwar berucap, dan Zulkifli pula mendakwa bahawa masih banyak yang boleh beliau dedahkan, perbahasan sidang Dewan Rakyat pada minggu ketiga tidak mungkin sepi. BERNAMA

Artikel Lain