Najib Umum Elaun, Insentif Kenaikan Pangkat Polis - Semasa | mStar

Najib Umum Elaun, Insentif Kenaikan Pangkat Polis

KUALA LUMPUR: Kerajaan bersetuju untuk membayar elaun bulanan sebanyak RM200 kepada kira-kira 33,000 pegawai dan anggota lain-lain pangkat Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang melakukan tugas-tugas am.

Mengumumkan perkara itu hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata pemberian elaun itu akan membabitkan peruntukan tambahan sebanyak RM84 juta setahun.

Selain itu, Perdana Menteri turut mengumumkan berita baik bagi para anggota polis berpangkat Konstabel hingga Koperal yang akan menikmati kenaikan pangkat berdasarkan tempoh perkhidmatan.

Melalui pindaan Pekeliling Perkhidmatan 2009, anggota berpangkat Konstabel akan dinaikkan pangkat ke Lans Koperal selepas tiga tahun perkhidmatan, dan Lans Koperal dinaikkan pangkat ke Koperal selepas lima tahun, katanya ketika berucap merasmikan Sambutan Hari Polis Ke-203 di Pusat Latihan Polis (Pulapol) di sini.

"Inisiatif penambahbaikan ini akan melibatkan lebih 52,000 anggota lain-lain pangkat," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan dan Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar.

Najib dalam ucapannya turut mencadangkan supaya balai polis yang cemerlang diberikan penghargaan khas berdasarkan prestasi dan pencapaian mereka.

"Apa yang diberikan hari ini sebagai menunjukkan sokongan dan dorongan kerajaan atas jasa anggota polis yang bertugas demi bangsa dan negara," katanya.

Selain itu, Najib turut menekankan tiga nilai utama iaitu integriti, keberkesanan dan keberhasilan yang perlu dipegang oleh seluruh warga PDRM dalam menjalankan tanggungjawab mereka kepada masyarakat terutama untuk memastikan negara dalam keadaan aman dan selamat.

Tiga nilai itu penting terutama dalam usaha mengurangkan kadar jenayah yang menjadi satu daripada enam teras Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

"Mengurangkan jenayah merupakan satu misi nasional yang menjadi agenda penting kerajaan. Tugas tersebut bukan sahaja menjadi tanggungjawab polis tetapi juga Menteri Dalam Negeri serta saya sendiri sebagai ketua kerajaan yang turut bertanggungjawab kepada rakyat untuk menjayakan matlamat ini," katanya.

Najib berkata sejak NKRA diumumkan tahun lepas dengan mensasarkan penurunan kadar jenayah sebanyak lima peratus menjelang tahun 2010, ia mula menunjukkan tanda positif apabila dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, ia turun sebanyak 13 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

Beliau berkata permulaan ini memberi petanda serta dorongan yang baik bagi meneruskan momentum untuk mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI).

"Jika nak berjaya perangi jenayah perlu tentukan kekuatan dalam semua aspek bukan sahaja anggota dan tiga nilai yang dinyatakan tetapi juga kemahiran-kemahiran baru seperti teknologi, alat komunikasi terbaik serta dalam semua aspek," katanya.

Perdana Menteri memberi contoh balai polis bergerak yang ada perlu mempunyai kelengkapan alat komunikasi lebih efisyen agar para anggota di balai mudah berhubung dan mengambil tindakan secepat mungkin sekiranya kejadian jenayah berlaku. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Muhyiddin Sedia Bertemu Kesatuan Guru

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Kata kuncinya semangat berpasukan, penganjuran julung kali perlumbaan perahu naga korporat PjH catat kejayaan berganda!

PERLUMBAAN perahu naga korporat anjuran Putrajaya Holdings membuka laluan kepada perlumbaan lebih besar pada masa akan datang.

default image

Jom bantu bayar balik pinjaman PTPTN pekerja! Pelepasan cukai antara 7 kelebihan untuk dinikmati majikan

HUBUNGAN majikan dan pekerja ibarat irama dan lagu, kedua-duanya saling memerlukan antara satu sama lain demi kelangsungan operasi syarikat.

default image

Agenda bumiputera masih keutamaan WKB 2030

STATISTIK oleh Institut Masa Depan Malaysia (Masa), bumiputera berada di bahagian bawah apabila ia berkaitan dengan pemilikan kekayaan dan tahap pendapatan.

default image

WKB 2030: Gandingan kerajaan-swasta penting untuk manfaat rakyat

SEKTOR swasta perlu berganding bahu dengan kerajaan sebagai fasilitator untuk memperbaiki ketidakseimbangan pendapatan di negara ini.

default image

WKB 2030: Ke arah masa depan rakyat dan negara yang lebih cerah

WAWASAN ini menjamin kemakmuran dan kekayaan akan dinikmati bersama tanpa mengabaikan tanggungjawab membela masyarakat bandar dan desa yang berpendapatan rendah serta miskin.

Artikel Lain