suria

Zahrain Mahu Saman Guan Eng

KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen Bebas Bayan Baru Datuk Zahrain Mohamed Hashim akan memfailkan saman fitnah terhadap Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Zahrain berkata, beliau menerusi peguamnya akan mengemukakan notis saman tersebut kepada Lim di pejabat ketua menteri itu di Pulau Pinang hari ini.

"Setelah berbincang dengan peguam, saya dapati ada kes dan saya akan mengarahkan peguam saya mengemukakan surat permintaan kepada Lim dan selepas itu kita akan tengok bagaimana respons beliau," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini semalam.

Sebelum ini Guan Eng telah membuat kenyataan bahawa Zahrain keluar Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana gagal mendapatkan kelulusan tender bernilai RM40 juta untuk mengurus projek Bukit Jambul Golf Resort di Pulau Pinang menerusi sebuah syarikat RM2.

Zahrain berkata beliau juga akan mengambil tindakan yang sama terhadap Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, jika didapati memfitnah dengan mengatakan beliau menggunakan projek golf untuk membayar hutang bernilai RM1.8 juta.

"Ini satu pembohongan dan fitnah. Jadi saya akan serahkan pada peguam untuk kaji kes dan insya-Allah kalau ada kes saya juga akan ambil tindakan mahkamah ke atas beliau," katanya.

Beliau berkata tindakan ini terpaksa diambil memandangkan kini fitnah dan pembohongan sudah menjadi lumrah dan jika dibiarkan, ia akan merosakkan negara dan akidah masyarakat. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain