suria

China Press Gantung Tugas Ketua Editor, Mohon Maaf Secara Terbuka

KUALA LUMPUR: Akhbar China Press menggantung tugas Ketua Editornya Teoh Yong Khoon selama dua minggu, dan membuat permohonan maaf secara terbuka di muka depan akhbar itu hari ini, berhubung laporan yang menyebut Ketua Polis Negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan akan bersara sebelum sambutan Hari Polis 25 Mac ini.

Dalam permohonan maaf empat perenggan, akhbar itu menyatakan Teoh digantung daripada tugasnya sebagai Ketua Editor mulai hari ini sebagai "tindakan dalaman" kerana menyiarkan laporan berita eksklusif itu dalam edisi 13 Mac.

"Laporan tidak tepat itu mengakibatkan komplikasi kepada Perdana Menteri, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan menterinya, KPN dan timbalannya. Kami tidak menyangka perkara ini akan berlaku dan kami berasa amat kesal," kata akhbar harian berbahasa Cina itu dalam permohonan maafnya.

Laporan berkenaan turut menyebut bahawa selepas Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Musa menafikan laporan itu pada hari yang sama berita itu disiarkan, ini membuktikan bahawa laporan itu tidak tepat.

Berikutan itu, Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada akhbar berkenaan pada hari yang sama artikel itu disiarkan.

China Press diberi masa tujuh hari untuk memberi jawapan bertulis kepada surat tunjuk sebab itu yang dikeluarkan mengikut Seksyen 8A Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301), dan semalam, Kementerian menyatakan berpuas hati dengan penjelasan yang diberi oleh akhbar berkenaan dan tidak akan mengambil sebarang tindakan terhadap mereka. - BERNAMA

Artikel Lain