suria

Pelajar Maut, Dua Rakan Cedera Ditikam Perompak

KUCHING: Seorang pelajar perempuan mati manakala dua rakannya cedera ditikam dua lelaki yang menaiki motosikal di kawasan perindustrian ringan Batu Kawah di sini semalam.

Suci Nur Rahma, 14, dari MJC Batu Kawah ditikam diperut dan meninggal dunia dalam perjalanan ke Hospital Umum Sarawak (HUS).

Seorang rakannya yang berusia 13 tahun cedera parah akibat ditikam di pinggang dan kini dirawat di HUS manakala rakannya yang berusia 15 tahun cedera ringan dan dirawat sebagai pesakit luar.

Ketua Polis Daerah Kuching Asisten Komisioner (ACP) Mun Kock Keong berkata kejadian pada pukul 7.15 petang itu berlaku ketika ketiga-tiga pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Kawah itu dalam perjalanan pulang ke rumah mereka selepas membeli belah di MJC Commercial Centre di Bandar Baru Batu Kawah.

"Mereka dihampiri dua lelaki yang menaiki motosikal sebelum dirompak dan ditikam. Siasatan awal mendapati rompakan bukan motif utama. Polis akan menyiasat kes ini secara menyeluruh daripada semua sudut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Sementara itu Ibu Suci, Madu Retna, 36, berkata pada mulanya beliau ingin menghantar anak sulungnya itu ke MJC Commercial Centre untuk membeli kad prabayar tetapi anaknya itu menolak.

"Dia memberitahu saya dia mahu berjalan kaki ke sana dengan rakan-rakannya.

"Saya mulai risau apabila gagal menghubunginya apabila dia tidak balik ke rumah selepas pukul 8 malam," kata surirumah itu.

Beliau berkata panggilan yang dibuat ke telefon bimbit anaknya itu dijawab orang awam yang memaklumkan bahawa anaknya itu pengsan dan akan dihantar ke HUS.

"Apabila saya bergegas ke HUS, doktor memaklumkan anak saya telah meninggal dunia," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Rumah Mayat HUS di sini hari ini. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain