suria

Pengarah Hutan Kedah Dituduh Rasuah

ALOR SETAR: Pengarah Jabatan Perhutanan Kedah, Kasim Osman, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Alor Setar hari ini terhadap tuduhan menerima rasuah pada tahun lepas.

Kasim, 56, dituduh menerima suapan RM5,000 daripada Yee Gan Seng pada 3 petang 8 Julai tahun lepas di Jabatan Perhutanan Kedah, Bangunan Sultan Abdul Halim, Jalan Sultan Badlishah di sini, sebagai dorongan supaya membantu dan meluluskan permohonan syarikat AK Millenium Enterprise untuk menarik balik tender membalak di kompartmen 71-A, Hutan Simpan Rimba Teloi, Sik, yang disertai syarikat itu.

Jika disabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Khairul Anuar Abdul Halim membenarkan Kasim diikat jamin sebanyak RM5,000 dan menetapkan 10 dan 11 Mei ini untuk perbicaraan.

Pendakwaan dikendalikan Nazrul Nizam Mohd Zamri daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia manakala Kasim diwakili Peguam Firus Mohd Jaffril. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain