suria

Syarat Gaji Minimum Mesti Diperkenal: MASEU

KUALA LUMPUR: Amalan ekonomi di Malaysia yang menyerahkan kepada kuasa pasaran untuk memutuskan soal gaji sudah tidak praktikal dan relevan pada masa sekarang, kata Kesatuan Pekerja Malaysia Airlines System (MASEU) hari ini.

Setiausaha Eksekutifnya, Mustafar Maarof berkata, justeru Malaysia harus memperkenalkan polisi gaji minimum untuk menjaga kepentingan tenaga kerja di negara ini.

"Ketiadaan penetapan gaji minimum menyebabkan majikan mendesak agar gaji ditentukan kuasa pasaran dan di dalam beberapa kes keadaan itu mengakibatkan pendapatan yang diperolehi berada pada bawah garis kemiskinan," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Beliau juga menghujahkan beberapa negara Asean seperti Thailand, Laos, Myanmar dan Vietnam telahpun mempunyai polisi gaji minimum, sementara Singapura dan Brunei membayar lebih kepada kumpulan berpendapatan rendah sejajar dengan kedudukan ekonomi dan kos kehidupan mereka.

Mustafar juga berkata, hampir 100 peratus sektor swasta di negara ini menggunakan model bisnes dari Eropah dan negara Barat sebagai amalan perniagaan mereka, namun berbanding negara kebanyakan negara Barat yang mempunyai peruntukan gaji minimum, di Malaysia keadaan adalah sebaliknya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain