suria

Warga Asing Ditahan, dadah Bernilai Lebih RM800,000 Dirampas

SHAH ALAM: Tiga lelaki warga asing termasuk seorang daripadanya bertindak sebagai kurier satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa, ditahan dalam serbuan berasingan di sekitar Lembah Klang pada Sabtu dan Ahad lepas, membabitkan rampasan 4.5kg dadah bernilai lebih RM800,000.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Selangor, ACP Nordin Kadir berkata dalam operasi Ahad lepas, polis menahan seorang lelaki warga Iran di kawasan tuntutan bagasi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), dan merampas satu bungkusan plastik lutsinar yang terbahagi kepada empat bahagian dipercayai mengandungi dadah jenis kokain seberat 4kg daripada suspek.

"Suspek yang berusia 35 tahun dan berniaga sendiri itu baru tiba dari Dubai ketika tangkapan dibuat dan pertama kali memasuki negara ini. Difahamkan, suspek itu bertindak sebagai kurier yang menerima upah bagi satu sindiket pengedaran dadah antarabangsa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata dadah kokain yang dirampas dianggar bernilai RM800,000, manakala suspek ditahan reman sehingga 28 Feb ini untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Nordin juga berkata kes rampasan kokain itu adalah yang pertama di Selangor tahun ini.

Dalam operasi Sabtu lepas pula, polis menahan dua lelaki warga Nigeria serta merampas satu bungkusan plastik lutsinar mengandungi satu ketulan mampat dan daun kering disyaki ganja seberat 478 gram ketika melakukan serbuan di kawasan sekitar sebuah apartmen yang disewa suspek itu di Puchong, Selangor kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

Polis turut menjumpai dua bungkusan kecil timah yang berisi daun kering disyaki ganja seberat 17 gram dari salah seorang suspek. Nordin berkata, kedua-dua suspek, yang merupakan rakan sebilik apartmen itu, menuntut di sebuah kolej swasta di Petaling Jaya sejak sembilan bulan lepas.

"Ujian air kencing yang dijalankan ke atas kedua-dua suspek mendapati salah seorang daripadanya positif dadah ganja. Kita sedang menyiasat sumber bekalan dadah ini," katanya.

Nordin berkata dadah yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,500, manakala kedua-dua suspek yang berumur 24 dan 25 tahun ditahan reman sehingga 27 Feb dan disiasat mengikut Seksyen 15 1(a) dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain