suria

5.1 Juta Pencarum Perkeso Akan Terima Penyata Tahunan

KUALA LUMPUR: Para pencarum Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) akan menerima penyata tahunan serupa penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) apabila projek perkomputeran yang sedang dilakukan siap sepenuhnya kelak, kata Ketua Pegawai Eksekutif K. Selvarajah hari ini.

Pada masa ini, para pencarum boleh mendapatkan penyata mereka di pejabat Perkeso berhampiran atau melalui SMS 15888.

Projek perkomputeran itu dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh setahun atau dua tahun ini kerana ia membabitkan jumlah pencarum seramai 5.1 juta.

"Kami perlu mengemas kini kesemua alamat dan butiran sebelum kami mengeluarkan penyata tahunan kepada mereka," katanya kepada Bernama.

Selvarajah berkata, demikian sebagai mengulas aduan daripada pencarum mengenai ketiadaan penyata tahunan Perkeso menyebabkan mereka sukar mengetahui sama ada majikan mereka mencarum kepada dana itu.

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berkata, kesatuan itu menerima beberapa aduan daripada pekerja yang mendakwa majikan mereka gagal memasukkan wang caruman kepada Perkeso meskipun wang telah dipotong daripada gaji mereka.

Selvarajah mengakui Perkeso sendiri mendapati kira-kira 20 peratus majikan di negara ini tidak menyumbang kepada dana itu.

Kedua-dua majikan dan pekerja diwajibkan mencarum kepada Perkeso yang menyediakan perlindungan kepada para pekerja daripada bencana pekerjaan termasuk penyakit khidmat dan kemalangan semasa perjalanan berkaitan pekerjaan.

Naib Presiden MTUC, A. Balasubramaniam berkata, penyata tahunan daripada Perkeso akan "memberi bantuan yang amat diperlukan terutama semasa membuat tuntutan." - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain