suria

Malaysia Sasar Tidak Lagi Import Beras Menjelang 2015

KOTA BHARU: Malaysia mensasarkan tidak lagi mengimport beras menjelang tahun 2015, kata Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Wira Mohd Johari Baharum.

Bagi merealisasikan objektif itu, beliau berkata usaha sedang giat dilakukan bagi meningkatkan hasil di dua kawasan jelapang padi negara iaitu Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) dan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), masing-masing antara 5 hingga 10 peratus.

Selain itu, kerajaan juga akan membuka lebih luas kawasan tanaman padi secara mini estet bagi memberi peluang kepada petani mendapat pulangan lebih lumayan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan KADA 2010 di sini, hari ini.

Katanya, pada masa ini Malaysia mengimport 30 peratus atau 700,000 metrik tan beras setiap tahun bagi menampung keperluan dalam negara.

"Jika kita mampu meningkatkan pengeluaran padi di dua kawasan iaitu MADA dan KADA antara 5 hingga 10 peratus mulai tahun ini, kita yakin tidak akan lagi mengimport beras pada 2015," katanya.

Menurutnya, pada tahun lepas KADA mengeluarkan kira-kira 230,000 metrik tan padi dan dijangka meningkat sehingga 260,000 metrik tan tahun ini.

Beliau berkata, kementerian juga sedang menyiapkan kertas Kabinet mengenai langkah-langkah pencegahan dan membendung musuh tanaman yang boleh mengancam pengeluaran padi negara. - BERNAMA

Artikel Lain