suria

Dua Pos Kawalan Malaria Akan Dibina Di Baram

MIRI: Dua pos kawalan Malaria dirancang untuk dibina masing-masing satu di Long Jeeh dan Long Lellang dalam kawasan Baram, kata Ahli Parlimen kawasan berkenaan, Datuk Jacob Dungau Sagan hari ini.

Beliau berkata, baru-baru ini Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai memberitahunya bahawa pos kawalan penyakit Malaria akan dilengkapi dengan petugas yang mencukupi untuk melaksanakan langkah-langkah pembanterasan dan kawalan penyakit itu di dua kawasan pedalaman berkenaan.

Katanya, jumlah pos kawalan mungkin ditingkatkan bergantung kepada keperluan di masa hadapan.

Menurutnya, lapan pasukan kesihatan bergerak dan perkhidmatan doktor udara juga sedang melaksanakan kerja-kerja pemantauan penyakit itu di samping menyediakan perkhidmatan rutin mereka di 12 lokasi dalam kawasan Baram.

Sagan yang juga Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha gigih Kementerian Kesihatan ketika ini berjaya menurunkan jumlah kes-kes Malaria di Baram dengan ketara. - BERNAMA

Artikel Lain