suria

Sindiket Sibu Sanggup Buat Apa Saja Untuk Dapatkan Getah

SIBU: Beberapa sindiket yang didalangi rakyat tempatan melakukan apa sahaja untuk mendapatkan getah berikutan harga komoditi itu yang melonjak sekarang, sekali gus membolehkan mereka membuat keuntungan segera.

"Mereka melakukan bermacam-macam tindakan seperti menyeludup pekerja asing tanpa izin, membuat intipan pergerakan penguatkuasa undang-undang, memasang jerangkap dan yang paling teruk ialah mengancam pemilik kebun kecil yang terletak jauh di dalam hutan.

"Para pemilik kebun menerima ancaman termasuk dicederakan atau harta milik mereka dirosakkan jika mereka memberitahu polis atau tidak membenarkan pokok getah mereka ditoreh secara percuma," kata Ketua Polis Sibu, Asisten Komisioner Shafie Ismail kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata, polis menyedari kewujudan sindiket beroperasi di beberapa kawasan di sini seperti di Sungai Bidut, Sungai Assan, Engkilo, Bukit Lan dan Durin.

"Kami merancang untuk mengadakan operasi bersama membanteras mereka sedikit masa lagi. Pada masa ini, kami sedang mengumpulkan lebih banyak maklumat," katanya.

Shafie berkata, dalang sindiket itu sangat kejam dan nasib penoreh getah berada di tangan mereka kerana para pekerja berkenaan datang secara haram.

"Mereka tidak berani tampil kepada kami kerana mereka tahu kedudukan mereka dan mereka juga tidak tahu hendak mengadu ke mana. Kami mempunyai laporan bahawa mereka diberi makanan yang sangat sedikit dan bayaran amat rendah atau langsung tidak menerima apa-apa bayaran."

Beliau berkata, sebilangan dalang berkenaan akan membuat laporan polis selepas mendapat hasil torehan daripada para pekerja dengan tujuan penoreh pendatang tanpa izin ini ditahan pihak berkuasa sekaligus mengelakkan mereka daripada mendapat upah.

"Berikutan ancaman sedemikian, polis terpaksa mengatur dan mendapatkan keterangan daripada pemilik kebun di hotel kerana mereka enggan ke balai polis.

"Kami telah merakamkan kenyataan daripada mereka yang tidak lagi menetap di kebun mereka kerana telah berpindah ke bandar atau ke kawasan lain di negeri ini," katanya.

Harga pasaran getah keping pada ini ialah RM7.50 se kilogram manakala getah sekerap pada RM4.80 se kilogram.

Dalam perkembangan lain, Shafie berkata, polis masih belum dapat menyelesaikan kes bom molotov yang dilemparkan sebanyak dua kali di kediaman Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng tahun lepas kerana kekurangan maklumat dan tiada saksi tampil memberi maklumat.

Katanya, sebuah kediaman milik pemimpin masyarakat Melayu di ini turut dilempar dengan bom molotov tahun lepas. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain