suria

Naib Canselor UUM Didenda RM5,000 Langgar Perintah Injunksi

ALOR SETAR: Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Tan Sri Dr Nordin Kardi hari ini dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau sebulan penjara selepas didapati bersalah menghina mahkamah apabila gagal melaksanakan satu perintah injunksi yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi di sini, Julai lepas.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Zamani Abdul Rahim yang membuat keputusan itu dalam kamarnya menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap Dr Nordin, atau sebulan penjara jika gagal menjelaskan jumlah itu dalam tempoh dua minggu mulai hari ini.

Pada 8 Julai lepas, sebuah syarikat penganjur program pengajian Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA) UUM, memperoleh perintah injunksi Mahkamah Tinggi di sini bagi menghalang universiti itu meneruskan program berkenaan.

Peguam C.V Krishnadevan yang mewakili KIC Management berkata UUM bagaimanapun gagal mematuhi perintah injunksi itu, menyebabkan pihak syarikat memfail waran komital pada Oktober tahun lepas.

Sementara itu, Pengarah Urusan KIC Management, Azahar Abdul Rahman berkata, syarikat itu memohon injunksi itu selepas UUM, melalui surat bertarikh 18 Mei 2009, membatalkan perjanjian usahasama dengan syarikat berkenaan untuk mengendalikan program itu, berkuatkuasa 1 Jun lepas.

Azahar berkata, mengikut perjanjian yang ditandatangani pada 1 Sept 2008, pihak yang mahu menamatkan kontrak itu mesti memberikan notis secara bertulis selama enam bulan lebih awal dan selepas pelajar sesi terakhir menamatkan pengajian mereka.

Sementara itu, Peguam Datuk Hashim Jahaya yang mewakili Dr. Nordin berkata, beliau akan berbincang dengan anak guamnya sama ada akan merayu keputusan itu atau tidak. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain