suria

Polis Tahan Pengawal Keselamatan Simpan Senjata Api Di Rumah

KUALA TERENGGANU: Polis menahan seorang pengawal keselamatan selepas menemui sepucuk revolver .38 bersama 28 butir peluru hidup dalam kediamannya di Jalan Sultan Mahmud di sini pagi semalam.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri Terengganu Supt K.Manoharan berkata polis menyerbu rumah pengawal keselamatan itu pada kira-kira pukul 3.30 pagi selepas mendapat maklumat daripada orang ramai dan menemui senjata api bersama peluru itu yang disimpan dalam sebuah bilik.

Beliau berkata siasatan awal mendapati revolver bersama peluru itu digunakan oleh pengawal keselamatan berumur 31 itu untuk bertugas, dan dia membawa senjata itu pulang kerana diarah oleh majikannya disebabkan syarikat tempat kerjanya tidak mempunyai tempat menyimpan senjata.

"Kami juga sedang siasat syarikat berkenaan kerana mengarahkan pekerja mereka membawa pulang senjata api api bersama peluru hidup," katanya ketika diitemui pemberita di sini hari ini.

Manoharan berkata adalah menjadi satu kesalahan bagi orang awam untuk membawa pulang senjata api ke rumah, dan menurutnya kes itu sedang disiasat mengikut Seksyen 8(b) Akta Senjata Api 1960 kerana gagal mematuhi syarat yang boleh membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain