suria

MAHB Mahu Tarik Lebih Banyak Syarikat Penerbangan Ke KLIA

SEPANG: Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menjangkakan satu hingga empat lagi syarikat penerbangan baru, terutama dari Asia, akan menggunakan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tahun ini.

Pengurus Besar Kanan Operasi, Datuk Azmi Murad berkata, pengendali lapangan terbang itu telah menerima banyak pertanyaan dari syarikat penerbangan untuk mengadakan perkhidmatan penerbangan ke Malaysia.

"Kami juga telah pergi berjumpa syarikat penerbangan lain menyarankan mereka ke sini dan berharap menyaksikan lebih banyak syarikat penerbangan baharu selepas Mahan Air yang berpangkalan di Iran pada 2010," katanya kepada pemberita di luar acara penerbangan pertama Mahan Air di sini hari ini.

Beliau berkata, kehadiran Mahan Air akan meningkatkan saling hubung di KLIA, terutamanya ke Asia Barat.

Mahan Air, syarikat penerbangan kedua terbesar di Iran, melakukan penerbangan ulungnya ke KLIA hari ini, sekali gus membawa jumlah syarikat penerbangan ke KLIA kepada 59.

Azmi berkata, MAHB yakin menarik lebih banyak syarikat penerbangan untuk mengadakan perkhidmatan ke negara ini.

"Kita juga boleh menjangka menyaksikan pengendali syarikat lapangan terbang pada masa ini meningkatkan kekerapan perkhidmatan mereka dan menambah destinasi baharu menerusi KLIA," kata beliau.

MAHB turut mensasarkan jumlah penumpang berkembang sebanyak lima peratus tahun ini daripada 29.6 juta penumpang pada tahun 2009.

MAHB menguruskan dan mengendalikan 39 lapangan terbang di Malaysia, lima antarabangsa, 16 domestik dan 18 lapangan penerbangan untuk berlepas dan pendaratan pendek.

Ia juga mempunyai operasi di India dan Turki. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

10 Pengganas Ditahan ISA

Artikel Lain