suria

Pemimpin Segenap Lapisan Ucap Takziah Atas Kemangkatan Sultan Iskandar

KUALA LUMPUR: Pemimpin daripada segenap lapisan hari ini mengucapkan takziah kepada kerabat Diraja Johor dan rakyat negeri itu di atas kemangkatan Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail.

Di Tawau, Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata Almarhum Sultan Iskandar merupakan seorang ikon Diraja dan telah menyumbang dalam pelbagai aspek pensejarahan di negara ini.

Beliau berkata Almarhum bukan sahaja bekas Yang di-Pertuan Agong tetapi salah seorang daripada pencetus kepada gerakan meminda Perlembagaan Persekutuan Malaysia pada tahun 1989 kepada pindaan 1993.

"Bagi saya sendiri selaku anggota kabinet yang pernah berdampingan dengan Almarhum dalam beberapa lawatan ke luar negara dapat memperakukan bahawa jiwa besar Almarhum merupakan satu sumbangan kenegaraan yang amat penting," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Juara Rakyat "Motivasi Pendidikan" di Kampung Batu Payung di sini hari ini.

Rais berkata kemangkatan Almarhum bukan sahaja satu kehilangan bagi rakyat Johor tetapi juga negara.

Di Kuala Lumpur, Ketua Puteri Umno Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata jasa dan bakti Almarhum Sultan Iskandar terhadap kesejahteraan rakyat negeri Johor sememangnya mendapat pengiktirafan.

Beliau berkata Almarhum baginda juga yang menaungi rakyat jelata telah memainkan peranan membangunkan Johor sehingga menjadi salah sebuah negeri yang maju.

"Pergerakan Puteri Umno melahirkan rasa sedih di atas kemangkatan Almarhum dan turut berasa kehilangan seorang pemimpin yang berjiwa rakyat yang sentiasa menjadi ingatan seluruh rakyat jelata," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rosnah berkata anggota-anggota Puteri Umno berdoa agar roh Almarhum baginda ditempatkan bersama roh orang yang soleh dan Al-Fatihah untuk kesejahteraan roh Almarhum Sultan Iskandar.

Di Shah Alam, Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata Almarhum merupakan Raja yang sentiasa prihatin tentang kebajikan rakyat di negara ini termasuklah rakyat di Selangor.

"Bagi rakyat Selangor sudah tentulah kita merasa sedih atas kehilangan seorang Sultan yang pernah menjadi Yang di-Pertuan Agong kelapan untuk Malaysia," katanya selepas merasmikan Konvensyen Kepimpinan Wanita Selangor di sini hari ini.

Abdul Khalid berkata Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah yang diiringi oleh Mufti Negeri Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahid hadir memberikan penghormatan terakhir kepada Almarhum di Istana Besar, Johor Baharu, pagi tadi.

Sultan Iskandar mangkat pada pukul 7.15 malam tadi di Hospital Pakar Puteri Johor Baharu selepas dimasukkan ke hospital itu kerana gering. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain