suria

Perpaduan Perlu Dipererat Bagi Mengekalkan Keharmonian, Kata Koh

PULAU PINANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon mahu masyarakat pelbagai kaum di negara ini mempereratkan perpaduan bagi memastikan keharmonian sedia ada berkekalan.

Dr Koh yang memegang portfolio Perpaduan Nasional dan Pengurusan Prestasi berkata perpaduan dan persefahaman antara kaum penting bagi mengelak insiden yang tidak diingini berlaku.

"Malaysia mengamalkan sistem demokrasi dan kebebasan beragama, kita perlu saling menghormati antara satu sama lain bagi mengekalkan keharmonian," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek benilai RM1 juta untuk kerja-kerja pengubahsuaian tokong Kek Lok Si di sini hari ini.

Mengulas kejadian membakar dua buah surau di tempat berasingan di Muar, Johor semalam, beliau berkata kejadian seperti itu tidak sepatutnya berlaku kerana ia tidak mencerminkan kebudayaan masyarakat Malaysia yang terkenal dengan sikap saling menghormati antara kaum dan agama.

Mengenai peruntukan untuk kerja ubahsuai di tokong itu, Dr Koh berkata ini mencerminkan pendirian Jabatan Perdana Menteri (JPM) yang tidak bersikap pilih kasih terhadap penganut agama lain walaupun Islam adalah agama rasmi negara ini.

Tokong Kek Lok Si dibina pada tahun 1890, merupakan kuil agama Buddha terbesar di Pulau Pinang dan di Asia Tenggara.

Daya tarikan utama di tokong Kek Lok Si adalah patung besar Dewa Kuan Yin, selain daripada biara dan pagoda setinggi tujuh tingkat yang mempamerkan 10,000 imej Buddha. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain