suria

Kelas Prasekolah Akan Diwujudkan Di Rumah Panjang - Muhyiddin

BINTULU: Kemudahan prasekolah akan diwujudkan di rumah-rumah panjang di Sarawak bagi memastikan kanak-kanak di kawasan pedalaman tidak tercicir daripada sistem pendidikan kebangsaan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Perdana Menteri berkata kerajaan pusat memahami kepayahan dialami oleh penduduk di rumah panjang di negeri ini yang tinggal bertaburan dan ada lokasinya terpencil dari kawasan bandar yang menyebabkan ibu bapa sukar menghantar anak mereka ke kelas prasekolah.

"Jikalau ada anak tempatan berminat menjadi guru prasekolah di rumah panjang berkenaan kita sedia memberi latihan untuk membolehkan mereka mengajar," katanya di majlis perjumpaan bersama rakyat di Dewan Masyarakat di Sebauh, kira-kira 50km dari sini, hari ini.

Muhyiddin yang juga Menteri Pelajaran berkata kerajaan pusat akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk mengkaji kesesuaian penempatan kelas prasekolah sama ada dibina bangunan khusus atau diwujudkan dalam rumah panjang itu sendiri.

Timbalan Perdana Menteri yang dalam rangka lawatan dua hari ke Sarawak yang berakhir hari ini turut menyuarakan keinginan untuk melawat rumah-rumah panjang di negeri ini bagi melihat sendiri kehidupan penduduk dan mendengar permasalahan mereka.

Beliau menyerahkan kepada kerajaan negeri untuk memilih beberapa rumah panjang yang akan dilawati apabila melakukan lawatan kerja ke Sarawak pada masa hadapan.

Katanya lawatan pertamanya ke rumah panjang ialah pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Ai tahun lepas dan lawatan tersebut mengubah pandangannya terhadap imej rumah panjang di negeri ini yang telah meningkatkan keinginannya untuk melawat rumah panjang di kawasan lain.

"Saya bayangkan rumah panjang adalah dibina guna kayu tetap saya dapati ada yang moden menggunakan simen," katanya.

Beliau memberi jaminan Sarawak akan mendapat banyak peruntukan untuk membina sekolah rendah dan menengah dalam Rancangan Malaysia Ke-10 dan mahu rakyat negeri ini menyokong usaha kerajaan termasuk konsep 1Malaysia.

Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud dalam ucapannya mahu rakyat negeri ini tidak terpengaruh dengan pembangkang yang hanya tahu mengkritik segala usaha kerajaan negeri dan persekutuan. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain