suria

TI-M Sokong Refomasi Bendung Rasuah Politik

KUALA LUMPUR: Transparency International Malaysia (TI-M) yang amat berpuas hati dengan Unit Pengurusan Prestasi dan Penyampaian (PEMANDU), akan mengkaji rasuah politik bagi mencadangkan reformasi kepada undang-undang berkaitan parti politik, terutamanya dalam pembiayaan politik.

Ia berkata kurangnya ketelusan dan kebertanggungjawaban berhubung sumber-sumber pembiayaan politik menyebabkan penyalahgunaan berlaku dalam sistem politik, yang merosakkan proses demokrasi pilihan raya.

Ini, katanya, mendorong kepada kegiatan pemberian berdasarkan sokongan politik, seperti yang ternyata melalui pemerolehan tertutup, sikap berat sebelah dan perbuatan salah tadbir. "Rasuah politik adalah 'induk' kepada semua rasuah. Ia seringkali merupakan punca kepada penyalahgunaan kuasa kerajaan. "Malaysia tidak boleh mencapai ekonomi berpendapatan tinggi jika keputusan ekonomi tertakluk kepada pengaruh atau pertimbangan politik," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

TI-M merupakan chapter bertauliah Transparency International yang beribu pejabat di Berlin.

Misinya ialah membendung rasuah melalui kerjasama antarabangsa dan kebangsaan yang menggalakkan kerajaan menggubal dan melaksanakan undang-undang, dasar dan program pencegahan rasuah yang berkesan.

Pertubuhan bukan kerajaan itu berkata ia sedang menjalankan kajian menyeluruh tentang reformasi perundangan dan institusi yang diperlukan bagi memastikan wujudnya integriti, ketelusan dan kebertanggungjawaban dalam pembiayaan politik. "Reformasi yang dicadangkan dan akan dikemukakan kepada kerajaan itu, termasuklah cadangan bagi pembiayaan parti politik dan pembiayaan kempen pilihan raya, serta Akta Parti Politik. "Bagaimanapun, Akta Parti Politik tidak akan berkesan tanpa reformasi undang-undang lain yang sedia ada, seperti Akta Pilihan Raya dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia," tegasnya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain