suria

Bot Terbalik: Guru Dan Pelajar Lemas, Empat Masih Hilang

Anggota penyelamat mencari empat mangsa yang masih hilang dalam kejadian bot terbalik di kawasan perairan kira-kira 500 meter dari Pengkalan Weld di Pulau Pinang, hari ini. - Foto BERNAMA

PULAU PINANG: Seorang guru dan seorang pelajar lemas manakala empat lagi masih hilang selepas bot perahu naga yang membawa 18 orang terbalik akibat dipukul ombak kira-kira 100 meter dari pantai Lebuh Macallum di sini hari ini, kata polis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata kejadian berlaku pada pukul 10.20 pagi dan mayat guru berkenaan, Chin Ai Fang, berusia 20-an, ditemui pasukan mencari dan menyelamat kira-kira sepuluh minit selepas kejadian.

Jurucakap pasukan gerakan mencari dan menyelamat berkata mayat pelajar yang lemas, Jason Ch'ng, 17, ditemui di kawasan berhampiran tempat kejadian pada pukul 2.45 petang.

Mereka yang masih hilang ialah Brandon Yeoh, 17, Yong Xiang, 16, Koh Yiz Hiang, 17, dan Cheah Zi Jun, 17 dari Sekolah Tinggi Chung Ling, Air Itam.

"Daripada lima yang hilang itu, hanya seorang dilapor memakai jaket keselamatan," kata Ayub kepada pemberita di sini.

Kawasan perairan itu sememangnya menjadi tempat pasukan pendayung sekolah berkenaan menjalani latihan mingguan bagi persiapan menyertai Kejohanan Perahu Naga Antarabangsa Pulau Pinang pada pertengahan tahun ini.

Ayub berkata pasukan pendayung perahu naga lelaki sekolah itu terdiri daripada 18 orang iaitu seorang guru (Chin), dua jurulatih dan 15 pelajar.

Mereka memulakan latihan pada pukul 8 pagi dan perahu naga mereka dikatakan terbalik akibat dipukul ombak pada pukul 10.20 pagi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Usaha Bersihkan Sungai Klang

Artikel Lain